ad
AGENSI

Lebih 10 mayat ditemui di Sungai Klang sepanjang projek pemulihan

16 Jun 2025, 8:52 PM
Lebih 10 mayat ditemui di Sungai Klang sepanjang projek pemulihan
Lebih 10 mayat ditemui di Sungai Klang sepanjang projek pemulihan
Lebih 10 mayat ditemui di Sungai Klang sepanjang projek pemulihan

SHAH ALAM, 16 JUN: Lebih 10 mayat termasuk mayat bayi ditemui sepanjang pelaksanaan projek pemuliharaan Sungai Klang bawah inisiatif Zon Pembangunan Ekonomi (ZPE) dan Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) Syaiful Azmen Nordin berkata penemuan itu merupakan sebahagian daripada 94,000 tan metrik sampah yang dikutip sejak projek itu bermula pada 2022.

“Macam-macam jenis sampah yang kita jumpa. Ada peti sejuk, motosikal, sofa dan mayat. Hampir setiap bulan kita pasti jumpa mayat dan semuanya kita serahkan kepada pihak polis,” katanya pada sidang media.

[caption id="attachment_705889" align="alignleft" width="500"] Pengarah Urusan Landasan Lumayan Sdn Bhd Syaiful Azmen Nordin bercakap kepada media ketika program lawatan tapak projek mitigasi banjir Selangor Maritime Gateway (SMG) bersama media di Kota Kemuning, Shah Alam pada 16 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Terdahulu, beliau menyertai lawatan tapak projek mitigasi banjir ZPE-SMG bersama pengamal media di sepanjang 15 kilometer (km) kawasan Sungai Klang di sini, hari ini.

Syaiful berkata, penemuan sampah yang terlalu banyak di dasar Sungai Klang menyebabkan jentera perlu sentiasa berhenti atau menukar mata gerudi sekali gus menyebabkan pertambahan kos operasi.

Menurutnya, sudah tiba masanya masyarakat membuka mata dan meningkatkan kesedaran untuk menjaga kebersihan sungai serta menguruskan sampah kitar semula di kediaman masing-masing.

“Apabila kita buat projek ini, kita hanya bantu selesaikan simptomnya sahaja, bukan masalah di akar umbi. Sampai bila kita mahu bersihkan sungai. Apa yang paling penting adalah mentaliti masyarakat kita,” katanya.

Projek pemuliharaan Sungai Klang membabitkan kerja mendalam dan melebarkan sungai merupakan sebahagian daripada pendekatan bersepadu yang turut merangkumi pengukuhan tebing, pembinaan ban serta pemulihan kualiti air.

Projek kendalian LLSB itu dijangka berupaya meningkatkan kapasiti tampungan Sungai Klang sebanyak 40 peratus sekali gus mengurangkan risiko banjir di kawasan titik panas.

Dengan anggaran kos sebanyak RM700 juta, projek tersebut membabitkan kawasan sungai sepanjang 56 km menerusi empat blok utama bermula dari Mid Valley di Kuala Lumpur sehingga ke Pelabuhan Klang.

[caption id="attachment_705897" align="aligncenter" width="1281"] Pengurusan Lembaga Urus Air Selangor (Luas) turut melawat kapal pengorek (dredger) ketika lawatan tapak projek mitigasi banjir Selangor Maritime Gateway (SMG) bersama media di Kota Kemuning, Shah Alam pada 16 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.