Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 16 JUN: Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor menggesa platform e-dagang, Shopee segera menghentikan penjualan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang kini tular dijual secara dalam talian.
Menerusi kenyataan di Facebook, GPMS Selangor menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab kerana melibatkan bahan pembelajaran percuma yang ditaja Kerajaan Negeri.
“Kegiatan 'opportunist' yang mengaut keuntungan dari penjualan modul PTRS ini menidakkan usaha murni Kerajaan Selangor menyediakan akses pendidikan untuk semua.
“Pihak berkuasa juga perlu melihat kegiatan ini sebagai aktiviti cetak rompak yang boleh terjumlah kepada pelanggaran undang-undang dan boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan yang sama,” katanya.
GPMS turut mengutuk tindakan individu yang didakwa mengambil kesempatan ke atas modul itu untuk kepentingan peribadi sambil menggesa Shopee segera menurunkan iklan dan menghentikan penjualan modul tersebut.
GPMS berkata pihaknya juga akan membuat laporan polis berhubung perkara terbabit supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM11 juta bagi melaksanakan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2025 yang memberi manfaat kepada lebih 160,000 pelajar.
Program tuisyen secara percuma itu memfokuskan bantuan kelas tambahan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan bagi pelajar tingkatan empat dan lima yang dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) atau prestasi pelajarannya sederhana atau lemah.
Terdahulu, tular pengiklanan dan penjualan modul PTRS antara RM5 hingga RM9.90 bagi subjek teras bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah untuk tingkatan empat dan lima.