SHAH ALAM, 16 JUN: Peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) adalah pilihan dasar yang lebih adil kepada pengguna berbanding pengenalan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kata Kementerian Kewangan.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata pendekatan itu dilihat mampu melindungi rakyat biasa daripada beban cukai yang tinggi sambil memastikan golongan berkemampuan membayar cukai setimpal.
Jelasnya peluasan SST disasarkan kepada barangan mewah dan perkhidmatan premium tertentu dan berbeza dengan pendekatan menyeluruh GST.
Johan berkata, perbezaan utama antara SST dan GST adalah siapa yang menanggung beban cukai. Di bawah struktur GST katanya, perniagaan boleh menuntut kredit cukai input dan memindahkan kos kepada pengguna.
“Keindahan GST dari sudut pandang perniagaan ialah, sebenarnya perniagaan tidak membayar cukai. Semuanya ditanggung oleh pengguna akhir, iaitu anda dan saya,” katanya lapor Malaysiakini.
Sebaliknya, peluasan SST lebih menekankan kepada perkhidmatan antara perniagaan (business-to-business).
“Kesan langsung cukai adalah di peringkat syarikat,” ujarnya, khususnya melibatkan perkhidmatan seperti penyewaan hartanah industri, pembinaan bangunan komersial dan perkhidmatan kewangan korporat.
Johan menjelaskan banyak perkhidmatan SST yang diperkenalkan tertumpu kepada sektor komersial dan syarikat, bukan pengguna.
Di samping itu, beliau mengakui bahawa kerajaan sebenarnya boleh menjana pendapatan lebih dua kali ganda dengan GST berbanding SST, tetapi tidak mahu membebankan pembayar cukai.
“Untuk SST, kita guna pendekatan senarai positif. Kita pilih contohnya nak kenakan cukai atas pembinaan, sewaan, atau kewangan, manakala banyak lagi tidak dikenakan. Saya rasa ini kerana kerajaan mahu pendekatan yang lebih disasarkan.
"Sebahagian besar barangan asas masih tidak tertakluk kepada SST, walaupun kita kenakan pada sektor pembinaan atau sewaan, kita tetap kecualikan perumahan.
“Kalau ini dilakukan di bawah GST, akan jadi sangat rumit,” katanya.
Mulai 1 Julai 2025, kerajaan akan melaksanakan semakan kadar SST serta meluaskan skop percukaian.
Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara dan memperluas asas cukai tanpa membebankan majoriti rakyat.