SHAH ALAM, 16 JUN: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalin kerjasama strategik dengan Majlis Bandaraya Shah Alam melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pembangunan Shah Alam Sentral (SA Sentral).
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata kerjasama berkenaan sebagai pemudah cara kedua-dua pihak untuk meremajakan Shah Alam sebagai bandar teknologi tinggi, hijau karbon dan rejuvanasi.
“Pembangunan seluas 130 ekar di Seksyen 13 dan Seksyen 14 yang akan siap sepenuhnya pada 2031. Kerjasama untuk jadikan Shah Alam bandar ikonik dengan menarik pelaburan dan rancak ekonomi penduduk setempat.
“Konsep mengikut Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Seksyen 13 menumpukan kediaman moden, rekreasi, makanan dan minuman (F&B) manakala rumah warga emas akan dibina di Seksyen 14,” katanya selepas Majlis MoU di Galeri SA Sentral, hari ini.
[caption id="attachment_662097" align="alignnone" width="839"] Orang ramai melihat replika SA Sentral ketika majlis pelancaran di Galeria Sentral, Seksyen 14, Shah Alam pada 6 September 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mahmud juga memaklumkan Kompleks PKNS Shah Alam akan dinaik taraf bagi merancakkan aktiviti perniagaan serta ekonomi yang menjadi sebahagian pelan pembangunan SA Sentral.
“Ia tidak akan diruntuh atau dipindahkan. Naik taraf mengikut konsep pembangunan semula Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) memfokus fasiliti dan kemudahan parkir.
“Selain itu, Plaza Peransang juga akan dibangunkan semula sebagai pusat hotel dan PKNS akan memeterai perjanjian bersama operator Grand Mecure tidak lama lagi,” ujarnya.
Projek SA Sentral dilancar pada 7 September lalu bakal menjadikan Shah Alam sebagi pusat perniagaan yang mampu bersaing dengan Kuala Lumpur, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM3 bilion.
Projek berimpak tinggi itu turut melibatkan komponen pembangunan Plaza Alam Sentral, SACC Mall, SACC Walk dan Kompleks PKNS.