ad
PBT

1,194 kes demam denggi direkodkan di Petaling Jaya takat awal Jun

16 Jun 2025, 2:04 PM
1,194 kes demam denggi direkodkan di Petaling Jaya takat awal Jun

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 16 JUN: Sebanyak 1,194 kes demam denggi direkodkan di Petaling Jaya dari Januari hingga awal Jun ini melibatkan 19 lokaliti wabak termasuk dua kawasan yang dikategorikan sebagai titik panas.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam kenyataan berkata jumlah itu meningkat kepada 18 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pihak berkuasa tempatan itu berkata daerah Petaling adalah kawasan yang mencatatkan kes denggi tertinggi di Selangor dengan Damansara Damai dikenal pasti sebagai penyumbang utama kes.

"480 kes direkodkan di Damansara Damai pada 2024, berbanding 98 kes setakat awal Jun ini. Apartment Idaman pula mencatatkan jumlah tertinggi dengan 73 kes pada 2024 dan 24 kes hingga Mei lalu,” menurut kenyataan itu.

Menurut MBPJ, terdapat 15 kelompok perumahan bertingkat merangkumi 14,477 unit kediaman dengan kepadatan penduduk tinggi menjadi faktor risiko penularan denggi di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Datuk Bandarnya, Mohamad Zahri Samingon berkata Sambutan Hari Denggi Asean 2025 yang diadakan di Apartmen Idaman, Damansara Damai semalam antara usaha pihaknya menangani denggi bersama komuniti setempat.

Jelasnya itu antara 31 pengisian MBPJ sempena sambutan ulang tahun ke-19 dengan acara kemuncak akan diadakan pada 21 Jun ini di Menara MBPJ.

“Usaha membanteras wabak denggi bukan hanya tanggungjawab pihak berkuasa tempatan semata-mata, ia memerlukan kesedaran, kerjasama dan tindakan berterusan daripada komuniti.

“Meskipun terdapat penurunan, MBPJ menegaskan aktiviti kawalan perlu diteruskan secara konsisten bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes dan mencegah peningkatan semula wabak,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.