KUALA LUMPUR, 16 JUN: Majlis Media Malaysia (MMM) perlu berfungsi untuk mengukuhkan polisi editorial khususnya penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam aspek penghasilan berita.
Pengarang Kanan Media Selangor Mohamad Khairul Nizam Bakeri berkata pengukuhan polisi penting supaya setiap kandungan laporan berita tidak bersifat berat sebelah sehingga menjejaskan kredibiliti.
[caption id="attachment_705782" align="alignleft" width="435"] Pengarang Kanan Media Selangor Mohamad Khairul Nizam Bakeri menjadi panel program Bicara Semasa bertajuk Amanah, Algoritma & Al: Bilik Berita Era Baharu sempena Hawana 2025 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada 15 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Jika kita mahu membuat garis panduan yang terperinci dan tepat perlu melibatkan semua pemegang taruh sebagai contoh ahli MMM yang terdiri pengamal media, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Agensi media tempatan juga boleh mempelajari pengunaan AI dari media antarabangsa bagaimana mereka menghasilkan kandungan berita berlandaskan teknologi itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program Bicara Semasa bertajuk Amanah, Algoritma & AI: Bilik Berita Era Baharu terbitan Media Selangor sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 di pusat membeli-belah Sunway Putra.
Bagi Ketua Media Sosial Astro Awani Hilal Azmi, beliau berpandangan garis panduan penghasilan berita melalui AI perlu diperkukuh sekali gus menjadi rujukan bagi memperkasa polisi dan undang-undang berkaitan industri media negara pada masa depan.
[caption id="attachment_705783" align="alignright" width="435"] Ketua Media Sosial Astro Awani Hilal Azmi menjadi panel program Bicara Semasa bertajuk Amanah, Algoritma & Al: Bilik Berita Era Baharu sempena Hawana 2025 di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur pada 15 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Sebagai contoh, TikTok telah menguatkuasakan undang-undang dan garis panduan berkaitan kandungan penderaan kanak-kanak (CSAM). Kawal selia dibuat melalui teknologi AI.
“Namun, semua bilik berita tidak mempunyai garis panduan berkaitan CSAM. Jadi, ia perlu diperkukuh bagi mengelak situasi sebelum ini semua akses akaun kebanyakan agensi media disekat TikTok,” ujarnya.
Akta MMM mula berkuat kuasa pada 14 Jun bersempena dengan sambutan Hawana 2025.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang mengumumkan perkara itu memberitahu menerusi akta tersebut MMM menjadi satu reformasi paling besar untuk membantu pengamal media di negara ini.
Ia dianggotai oleh 12 orang yang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta kategori ahli bukan media.