ad
AGENDA

Lapan tahun tinggal secara haram, tiga lelaki Bangladesh ditahan

15 Jun 2025, 3:18 PM
Lapan tahun tinggal secara haram, tiga lelaki Bangladesh ditahan

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Tiga lelaki warga Bangladesh antara lapan individu berusia 24 hingga 43 tahun yang ditahan dalam Op Noda, di enam premis hiburan di sekitar ibu negara awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ketiga-tiga mereka tidak memiliki dokumen perjalanan diri yang sah dan dipercayai sudah tinggal di Malaysia secara haram selama kira-kira lapan tahun.

“Ini merupakan kali ketiga mereka datang sebagai pelanggan untuk berhibur di pusat hiburan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rusdi berkata lima lagi individu yang turut ditahan dalam operasi bermula 2 hingga 3 pagi itu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga India, seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga Indonesia.

Beliau berkata kesemua mereka diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut, dengan warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Lelaki tempatan itu yang juga seorang pengurus kelab pula disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Rusdi berkata kesemua enam pusat hiburan yang diserbu berkonsepkan Bollywood dan mula beroperasi sekitar 5 petang atau 9 malam sehingga 5 pagi setiap hari.

“(Hasil) siasatan, pelanggan kebanyakannya terdiri daripada warga India dan Bangladesh, serta purata pendapatan bagi setiap pekerja dianggarkan RM1800 ke RM2000 sebulan,” katanya dan menambah kesemua pusat hiburan itu mempunyai lesen yang sah.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.