ad
AGENSI

Dua tokoh media bincang amanah dan etika berita di era AI

15 Jun 2025, 11:00 AM
Dua tokoh media bincang amanah dan etika berita di era AI

SHAH ALAM, 15 JUN: Amanah, Algoritma & AI: Bilik Berita Era Baharu menjadi topik perbincangan dua tokoh media, sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025, hari ini.

Wacana itu menampilkan Pengarang Kanan Media Selangor Sdn Bhd, Mohamad KhairulNizam Bakeri dan Ketua Media Sosial Astro Awani & Awani International, Hilal Azmi sebagai ahli panel.

Berlangsung jam 2 hingga 3 petang di Sunway Putra Mall, dua personaliti itu akan berkongsi pandangan mengenai cabaran semasa industri kewartawanan menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Pengunjung berpeluang memahami bagaimana media beroperasi dalam tekanan algoritma dan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) serta impaknya terhadap prinsip amanah dan kebebasan media.

Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sesi yang diacarakan oleh Pengarang Media Selangor, Nabihah Hamid selain boleh diikuti secara langsung menerusi semua platform media sosial, Media Selangor.

Sambutan Hawana 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun di Pusat Dagangan Dunia (WTC), menghimpunkan pelbagai program dan inisiatif khusus buat golongan media serta pakar industri media.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya sesi bual santai bersama agensi, kuiz, persembahan artis jemputan, aktiviti mewarna, sesi temu mesra, selain forum dan bengkel berkaitan penulisan kreatif, fotografi, audio siar serta literasi media.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.