ad
AGENDA

PM: Kerajaan setuju segerakan kelulusan peruntukan penubuhan Akademi Sepak Takraw

14 Jun 2025, 10:43 PM
PM: Kerajaan setuju segerakan kelulusan peruntukan penubuhan Akademi Sepak Takraw

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Kerajaan MADANI bersetuju untuk menyegerakan kelulusan peruntukan bagi penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia, supaya ia dapat direalisasikan menjelang hujung tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan memastikan cadangan penubuhan akademi berkenaan menjadi realiti.

“Tentunya bola sepak itu adalah kuat di Malaysia, kita berjaya tewaskan Vietnam baru-baru ini, tapi sepak takraw sudah catat prestasi yang membanggakan di peringkat rantau dan dunia, (berjaya) tarik minat semua di bandar dan desa.

“Jadi Hannah Yeoh (Menteri Belia dan Sukan) ada bisik (mohon) dan tekankan pada saya (supaya) sokong pasukan dan (penubuhan) Akademi Sepak Takraw Malaysia, saya setuju saranan itu, kita akan segerakan,” kata beliau.

Anwar berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2025 di Dataran Merdeka di sini hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Hannah Yeoh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Mengulas mengenai penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia, Anwar berkata Hannah telah memohon peruntukan berjumlah RM6 juta bagi tujuan berkenaan.

“Kita boleh beri (peruntukan dimohon) itu kerana kita cermat berbelanja, jaga tatakelola, tidak rasuah tidak ambil wang rakyat,” kata beliau.

Perdana Menteri telah turut mengumumkan meningkatkan peruntukan untuk MBM kepada RM4 juta berbanding RM3 juta yang diumumkan sebelum ini.

Anwar turut menggesa anak muda agar menjadi suara yang membantu dalam membina Malaysia menjadi sebuah negara hebat, selain tidak terjebak dengan hasutan ahli-ahli politik yang memainkan isu-isu perkauman.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.