ad
BERITA UTAMA

Darah kuning reda kes kritikal nahas, demam denggi, leukemia

14 Jun 2025, 9:20 PM
Darah kuning reda kes kritikal nahas, demam denggi, leukemia

Tragedi berdarah pada 1997 yang hampir meragut nyawa sahabat baiknya menjadi titik tolak kepada Ibrahim Mat Taib, 56, untuk menjadi penderma darah tegar. Sehingga kini, beliau menderma darah lebih 200 kali.

Hatinya pilu melihat rakannya bertarung nyawa gara-gara hospital kekurangan bekalan darah. Pada awalnya, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terlalu takutkan jarum. Memandangnya pun tidak mahu.

Waktu itu kesedaran awam mengenai derma darah amat rendah, tidak kurang juga yang takut jarum. Lebih menggerunkan, ada juga bimbang hilang banyak darah.

"Tapi saya pada waktu itu betul-betul tidak sampai hati. Kawan saya hampir mati. Kebetulan darah saya pula darah O, sama dengan dia. Mahu tidak mahu, kena kuatkan semangat.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, kawan baik saya selamat dan beliau sihat sehingga ke hari ini,” kata bapa empat anak itu ketika mengimbau detik pilu melanda sahabat karibnya.

Pada tahun sama, beliau sekali lagi cuba menderma darah. Selepas lima kali, doktor dapati darahnya istimewa. Sel darah merahnya bukan sahaja tinggi tetapi boleh didermakan lebih kerap.

Penderma istimewa

Menariknya, Ibrahim dikategori sebagai penderma aferesis. Aferesis ialah pendermaan salah satu komponen darah iaitu plasma atau platelet ataupun kedua-duanya sekali, manakala sel darah merah dikembalikan ke dalam badan penderma.

Proses berkenaan menggunakan mesin aferesis yang berfungsi mengasingkan sel-sel darah mengikut keperluan. Keistimewaan itu membolehkan Ibrahim menderma darah setiap dua minggu atau setiap bulan. Selain sel darah merah, beliau juga menjadi penyumbang utama sel platelet dan plasma.

Mengikut maklumat Pusat Darah Negara (PDN), keperluan bekalan komponen darah plasma dan platelet tidak kurang pentingnya berbanding dengan sel darah merah.

Platelet membantu pembekuan darah serta menghentikan pendarahan. Plasma pula mengandungi faktor pembekuan, antibodi dan sesuai untuk pesakit trauma luka bakar.

“Doktor maklumkan komponen darah ini (aferesis) sesuai dengan orang yang kehilangan darah ketika kemalangan atau pembedahan. Juga sesuai untuk mereka yang demam denggi berdarah, pesakit transplantasi, barah ataupun kes penyakit hematologi seperti leukemia.

“Bagi penderma sel darah merah, proses menderma sekejap sahaja iaitu dari 10 hingga ke 15 minit tetapi kategori macam saya boleh dari 60 hingga 90 minit. Tetapi menariknya boleh menderma setiap dua minggu, kalau darah biasa setiap tiga bulan,” ceritanya sempena Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun.

Selepas membantu sahabat baiknya, Ibrahim yang berkhidmat sebagai penghulu kampung teruja untuk menderma darah. Pantang nampak iklan bekalan darah kurang, beliau pasti sampai di hospital.

Ibrahim menganggap rutin itu sebagai terapi. Selepas menderma darah, beliau mengakui badannya semakin kuat kerana darah baru sering terhasil.

Walaupun hampir menjengah usia emas, Ibrahim menganggap tabiat itu juga membolehkanya menjaga kesihatan diri dengan lebih baik.

“Kita kena pastikan makanan juga berkualiti kalau hendak menderma darah. Macam saya sering amalkan makan jambu batu, ayam kukus dan makanan laut jenis bercengkerang seperti kepah, lokan atau kerang.

“Saya juga konsisten beriadah untuk pastikan dapat derma darah lebih banyak sekali gus membantu lebih ramai orang. Saya mungkin tak boleh ke medan perang menjadi perisai, tetapi bantuan darah ini dapat selamatkan banyak nyawa," katanya.

PDN juga saban tahun merayu orang ramai tampil menderma bagi menangani krisis kekurangan bekalan darah.

Secara purata, 2,200 beg darah diperlukan setiap hari, dengan simpanan kadar optimum di peringkat PDN serta negeri mencukupi bagi tempoh tujuh hari, manakala 14 hari di peringkat daerah.

PDN menggariskan golongan ideal memenuhi kriteria penderma darah:

- berusia 18 hingga 65 tahun

- berat badan minimum 45 kilogram

- tidur sekurang-kurangnya lima jam sebelum menderma

- makan sebelum menderma

- tidak pernah terlibat dalam aktiviti berisiko tinggi (untuk mendapat jangkitan) seperti bertukar pasangan seks, homoseksual, biseksual

- rekod terakhir derma darah perlu sekurang-kurangnya tiga bulan lepas

- kriteria penderma darah wanita, tidak mengandung, sedang menyusukan anak atau mengalami pendarahan haid

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.