ad
AGENDA

Cubaan seludup dadah bernilai RM2.61 juta melalui kotak kurier gagal

14 Jun 2025, 7:18 PM
Cubaan seludup dadah bernilai RM2.61 juta melalui kotak kurier gagal

SHAH ALAM, 14 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor mematahkan empat cubaan menyeludup keluar dua jenis dadah dianggarkan seberat 22,348 gram (g) bernilai RM2.61 juta April lalu.

Pengarah Kastam Selangor Tun Norlela Azumi Ramli berkata untuk kes pertama Bahagian Penguatkuasaan JKDM Selangor merampas sebuah kotak kurier eksport mengandungi dadah jenis bunga ganja di Pusat Mel dan Kurier Pos Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, pada 18 April.

“Nilai dadah berkenaan dianggarkan RM193,943 dengan berat dianggarkan 2,609g,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tun Norlela Azumi berkata dalam kes kedua, JKDM Selangor membuat pemeriksaan ke atas dua kotak kurier eksport di Pusat Mel Dan Kurier Pos Malaysia, KLIA Sepang pada 28 April yang disyaki mengandungi dadah jenis bunga ganja.

“Anggaran nilai keseluruhan dadah kedua-dua kotak itu RM905,618 dengan berat sitaan dianggarkan 8,395g,” katanya.

Untuk kes ketiga, beliau berkata JKDM Selangor merampas 7,344g dadah jenis bunga ganja bernilai RM719,712 di dalam dua kotak kurier eksport di Pusat Mel Dan Kurier Pos Malaysia, KLIA Sepang, Selangor Darul Ehsan pada 29 April 2025.

Manakala untuk kes terakhir, JKDM Selangor merampas 4,000g dadah jenis methamphetamine bernilai RM800,000 di dalam dua kotak kurier eksport di Pusat Mel dan Kurier Pos Malaysia, KLIA Sepang, Selangor pada 29 April 2025.

Tun Norlela Azumi berkata modus operandi sindiket itu ialah melakukan pengisytiharan tidak benar pada kotak berkenaan termasuk sebagai sarung kusyen, apron dan anak patung.

Beliau berkata kesemua dadah yang disita dibawa ke Pejabat Kastam Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.