KUALA LUMPUR, 14 JUN: Seramai 12 individu daripada pelbagai latar belakang dipilih menganggotai Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia (MMM) yang berkuat kuasa hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pemilihan anggota melibatkan empat kategori iaitu syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.
Berikut ialah 12 anggota Lembaga Pengasas MMM:
1. Wong Yang Yong
2. Datuk Sardahthisa James
3. Premesh Chandran Jeyachandran
4. Ashwad Ismail
5. Teh Athira Yusof
6. Ronnie Teo Teck Wei
7. Mohd Radzi Abdul Razak
8. Muthameez Manan
9. Mohd Azmyl Md Yusof
10. Gayathry S Venkiteswaran
11. Celine Lim
12. Terence Ooi Guan Tseng
Fahmi mengumumkan senarai nama berkenaan ketika acara kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, Akta MMM diwartakan selepas Fahmi menandatanganinya.
Pada Februari, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RRU) MMM 2024 selepas 50 tahun penubuhannya dibincang, sekali gus melakar sejarah baharu.
RUU yang antaranya bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media itu mendapat sokongan majoriti selepas dibahas 18 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.
Menurut Nie Ching, pada masa ini Malaysia tidak mempunyai suatu badan atau majlis yang mengurus dan memperjuangkan kepentingan media tempatan dan pengamal media, yang menjadi suara industri, termasuk meningkatkan standard dan kualiti ekosistem Malaysia untuk mengharungi cabaran mendatang.
Malaysia juga tidak mempunyai kod etika pelaporan yang standard untuk diguna pakai semua pengamal media dan buat masa ini, pengamal media merujuk kepada kod etika yang dikeluarkan organisasi masing-masing untuk pelaporan berita.
Di bawah RUU MMM 2024, Fasal 15 menyediakan peruntukan berkaitan mekanisme kawal selia membabitkan aduan ketidakpuasan hati, yang perlu dirangka dan diterima pakai oleh majlis dari semasa ke semasa sebagaimana yang ditentukan dalam mesyuarat agung.