KUALA LUMPUR, 14 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan beberapa kawasan dekat Semenanjung dan Sabah sehingga jam 5 petang ini.
Agensi itu di Facebook memaklumkan, antara kawasan yang terlibat ialah Perak (Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak dan Muallim) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong).
Di Selangor, amaran cuaca melibatkan kawasan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, Negeri Sembilan (Jelebu) dan Johor (Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Di Sabah pula, amaran sama dikeluarkan di kawasan pedalaman (Keningau dan Tambunan) serta Pantai Barat (Papar).
MetMalaysia menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.