KUALA LUMPUR, 14 JUN: Tabung Kasih@Hawana yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 memanfaatkan 441 pengamal media setakat tengah hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bantuan kepada pengamal media yang berdepan masalah kewangan, sama ada masih berkhidmat mahupun bersara itu melibatkan peruntukan melebihi RM1.2 juta.
Selain bantuan berkenaan Fahmi berkata 531 wartawan sambilan turut menerima perlindungan sosial sepanjang tahun lalu hasil sinergi bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Manfaat ini dilanjutkan bagi tempoh satu tahun lagi dengan anggaran peruntukan RM37,170.
“Antara manfaat Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri ini ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah tanggungan, faedah pengurusan mayat dan elaun layanan sentiasa,” katanya.
Beliau berucap demikian sempena acara kemuncak Hawana 2025 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini.
Fahmi berkata tahun ini perlindungan pengamal media sambilan diperluas kepada simpanan persaraan di bawah i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan peruntukan RM15,930.
“Inisiatif ini memberi manfaat selepas persaraan mereka kelak. Kerajaan memperuntukkan RM53,100 tahun ini bagi kedua-dua inisiatif berkenaan,” katanya.
Dalam majlis sama, Fahmi turut mengumumkan inisiatif khas Air Asia kepada lebih 12,000 pengamal media tempatan yang berdaftar dengan tawaran diskaun 50 peratus secara one-off bagi penerbangan ke 57 negara anggota Asean.
Tawaran sempena Malaysia menjadi pengerusi Asean itu dibuka sehinga 31 Disember depan dengan penerbangan antara April hingga September 2026.
Sambutan Hawana diperkenalkan pada 2017 sebagai pengiktirafan kepada sumbangan wartawan dalam pembangunan negara dan tarikh 29 Mei dipilih meraikannya sempena penerbitan pertama akhbar Utusan Melayu pada 1939.