ad
AGENDA

Malaysia keluar nasihat perjalanan ke Iran, Iraq, Jordan susulan ketegangan Iran-Israel

14 Jun 2025, 1:26 PM
Malaysia keluar nasihat perjalanan ke Iran, Iraq, Jordan susulan ketegangan Iran-Israel

PUTRAJAYA, 14 JUN: Malaysia mengeluarkan nasihat perjalanan ke Iran, Iraq dan Jordan susulan ketegangan antara Iran dan Israel dengan menggesa rakyatnya menangguhkan perjalanan tidak penting dan mengutamakan keselamatan.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Luar yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat perkembangan di Timur Tengah – melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, serta kedutaannya di Baghdad dan Amman – susulan ketegangan terkini antara Iran dan Israel.

Berikutan ketegangan yang semakin memuncak, Kementerian Luar memaklumkan bahawa Iran dan beberapa negara di rantau berkenaan iaitu Iraq dan Jordan telah menutup ruang udara mereka.

“Warganegara Malaysia di rantau berkenaan dinasihatkan agar bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan gangguan jadual penerbangan dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap rancangan perjalanan masing-masing.

“Perjalanan yang tidak penting ke kawasan terjejas harus ditangguhkan memandangkan situasi konflik yang tidak menentu,” menurut kementerian itu.

Wisma Putra turut menasihatkan rakyat Malaysia di Iran, khususnya yang berada berhampiran kawasan terjejas agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Semua warganegara Malaysia yang menetap atau sedang berada di Iran digesa mengemas kini maklumat peribadi dengan Kedutaan Besar Malaysia di Tehran,” katanya.

Menurut Kementerian Luar, pihaknya kekal komited dalam memastikan kebajikan dan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara melalui pejabat Perwakilan Diplomatiknya.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan sekiranya berlaku kecemasan dinasihatkan menghubungi Kedutaan Besar Malaysia terdekat. Berikut adalah butiran perhubungan untuk Kedutaan Besar Malaysia di lokasi utama:

Kedutaan Besar Malaysia di Tehran, Iran

No.25, 2nd Alley, North Zarafshan St., Shahrak-e-Gharb. Nombor telefon: +98 21 8807 2444 / +98 21 8807 8606 / +98 933 535 2602 atau e-mel: [email protected] / [email protected].

Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad, Iraq

Mezzanine Floor, Babylon Rotana Hotel, Al Abassi Street, Al Jadria, Baghdad, Iraq. Nombor telefon: +964 787 859 8775 / +964 786 497 0087 atau e-mel: [email protected].

Kedutaan Besar Malaysia di Amman, Jordan

No. 5, Hassan Al Kayed Street, Off Abai Street, Abdoun, Amman 11183, Jordan. Nombor telefon: +962 6590 2400 / +962 78590 2400 atau e-mel: [email protected].

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.