KUALA LUMPUR, 13 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya laporan siasatan lengkap mengenai insiden kebakaran Sekolah Menengah (SM) Sains Alam Shah di Cheras baru-baru ini disediakan segera.
Anwar, yang melawat sekolah itu selepas solat Jumaat hari ini, berkata penyediaan laporan tersebut adalah bagi membolehkan segala bentuk bantuan dan pemulihan dapat dilakukan dengan pantas serta berkesan selepas beberapa bahagian penting sekolah termasuk blok pentadbiran, bilik guru, makmal dan kemudahan lain musnah akibat kebakaran pada awal pagi Selasa lalu.
"Melihat sendiri impak kemusnahan itu cukup menyentuh hati kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada prasarana sekolah tetapi juga kepada semangat murid-murid dan warga pendidik yang begitu komited dalam usaha membina masa depan generasi muda.
[caption id="attachment_705562" align="aligncenter" width="974"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni pelajar ketika melawat bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras yang musnah dalam kebakaran pada 13 Jun 2025. Turut hadir isteri beliau Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto Facebook Anwar Ibrahim[/caption]
"Insya-Allah, kita akan pastikan usaha pemulihan dilaksanakan sebaik mungkin demi kesinambungan pendidikan anak-anak kita.
"Semoga seluruh warga sekolah, pelajar, guru serta staf terus diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini," katanya menerusi catatan di media sosialnya.
Terdahulu, Anwar melawat sekolah itu pada 2.25 petang bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.
Mereka diberi taklimat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhubung insiden itu.
Anwar turut meninjau tapak cadangan pembinaan bilik guru sementara dan beramah mesra dengan pelajar serta warga pendidik sekolah berkenaan.
Selasa lalu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran di sekolah itu pada 4.15 pagi.
Kenyataan itu memaklumkan tingkat tiga bangunan berkenaan yang antara lain menempatkan bilik guru, bilik mesyuarat, bilik fail, makmal dan beberapa bilik lain musnah dalam kebakaran namun tiada mangsa terlibat.
- BERNAMA
[caption id="attachment_705560" align="aligncenter" width="1197"] Keadaan bangunan pentadbiran Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Cheras yang musnah dalam kebakaran pada 13 Jun 2025. Foto Facebook Kementerian Pendidikan Malaysia[/caption]