Oleh Mohd Hafiz Abd Hamid
SHAH ALAM, 13 JUN: Kematian anak muda bukan sekadar kehilangan, tetapi ia adalah kehilangan masa depan buat negara. Ketika berita kemalangan maut yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuhraya Timur-Barat tersebar, hati saya dan ramai rakyat Malaysia terasa seolah ditusuk duri. Ia bukan sekadar kisah duka satu keluarga, tetapi sebuah tamparan buat kita semua bahawa sistem keselamatan jalan raya negara, masih tenat.
Saya ingin mengucapkan takziah yang sedalam-dalamnya kepada keluarga mangsa. Semoga mereka diberikan ketabahan dan kekuatan. Namun lebih penting, biarlah tragedi ini tidak berakhir dengan sekadar air mata apalagi karangan berita.
6,000 nyawa terkorban setahun, ini bukan statistik, ini adalah krisis!
Tahun 2023 mencatatkan lebih 6,000 kematian di jalan raya. Itu bersamaan lebih 17 kematian setiap hari, seolah-olah satu “kem kematian” kecil berlaku saban hari, tanpa bendera separuh tiang dan tanpa negara berhenti seketika untuk merenung situasi yang terjadi.
Adakah kita mahu terus hidup dalam norma di mana jalan raya menjadi lebih menakutkan daripada hutan belantara?
Al-Quran telah pun memberi peringatan:
“Dan janganlah kamu mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan…” (Surah Al-Baqarah: 195)
Dalam hadis pula, Nabi Muhammad ﷺ mengingatkan:
“Tidak boleh ada mudarat dan tidak boleh memudaratkan.” (Hadis Riwayat Ibn Majah)
[caption id="attachment_705104" align="aligncenter" width="815"] Keadaan bas selepas kemalangan maut yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun 2025. Foto Facebook Bernama[/caption]
Nyawa bukan milik kita semata, ia amanah dari Tuhan. Menjaga nyawa (hifz al-nafs) adalah antara tujuan utama syariah. Maka setiap kecuaian, setiap kelalaian, setiap “bolehlah tu” dalam isu keselamatan adalah pengkhianatan kepada amanah.
Tragedi bukan takdir semata, ia juga pilihan
Kita boleh buat lebih baik. Kita mampu elakkan kemalangan, jika kita berhenti menganggapnya sebagai takdir yang tak boleh dielakkan.
Bayangkan jika tragedi jalan raya ini adalah umpama kebakaran besar yang terjadi di sebuah bangunan sekolah. Apakah kita akan biarkan ia terus berlaku hari demi hari tanpa pelan kecemasan, tanpa audit keselamatan?
Kenapa bila ia berlaku di atas jalan raya, kita jadi lebih longgar?
Tujuh langkah ke arah sifar kematian jalan raya
Sebagai ahli masyarakat dan pimpinan NGO, saya ingin mengusulkan langkah konkrit yang boleh dijayakan bersama:
1. Guna teknologi pintar:
Kamera AI, sistem IoT, dan analisis data masa nyata mesti digunakan untuk pantau pemanduan berisiko dan kawasan maut.
2. Naik taraf infrastruktur bahaya:
Laluan berbukit, selekoh tajam dan kawasan ‘black spot’ perlu diberi nafas baru — bukan sekadar tampal-tampal jalan.
3. Pantau dan latih pemandu profesional:
Jadual kerja yang manusiawi, latihan pemanduan defensif dan rehat yang cukup. Jangan bazirkan nyawa kerana keletihan pemandu.
4. Kempen kesedaran yang menyentuh jiwa:
Bukan lagi iklan kaku di TV. Gunakan kisah benar, VR simulasi, dokumentari dan pendekatan naratif, biar sampai ke hati.
[caption id="attachment_704960" align="aligncenter" width="747"] Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza dipercayai dilanggar dari belakang oleh bas yang membawa penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, pada 9 Jun 2025. Foto BERNAMA[/caption]
5. Didik sejak kecil:
Masukkan kurikulum keselamatan jalan raya dalam sekolah dan universiti. Didikan bermula dari rumah, disambung di sekolah.
6. Nilai agama sebagai prinsip hidup:
Islam, Kristian, Buddha atau Hindu - semua mengangkat nilai menjaga nyawa. Integrasi nilai keagamaan akan membentuk masyarakat yang lebih berhati-hati.
7. Pantau secara berterusan:
Setiap negeri, daerah, kampung perlu ada data dan pelan tindakan yang dikemaskini secara langsung.
Analogi mudah: Kalau rumah kita terbakar, kita akan tukar litar elektrik, bukan sekadar lap abu-abunya.
Begitu juga dengan sistem jalan raya. Kita tak boleh terus “mop darah,” kita mesti ubah sistem. Ini bukan masa untuk sekadar sedekah Al-Fatihah. Ini masa untuk taubat sistemik, cegah budaya sambil lewa, pantau penguatkuasaan longgar, tegas dengan pengabaian nilai nyawa.
Akhir kata, kita selalu mendoakan anak-anak kita ‘selamat sampai’ apabila keluar dari rumah. Tetapi adakah kita telah benar-benar wujudkan sistem yang menjamin doa itu?
Mari kita jadikan keselamatan jalan raya sebagai tanggungjawab kolektif, bukan hanya milik kementerian, polis atau syarikat bas semata-mata. Ia tanggungjawab kita bersama dan semua
Setiap nyawa yang terselamat, adalah satu kemenangan buat negara.
*Penulis ialah setiausaha agung Pertubuhan Ikram Malaysia