ad
AGENDA

MB: Jalan Genting Peras dalam proses pengukuhan cerun, elak risiko tanah runtuh

13 Jun 2025, 5:33 PM
MB: Jalan Genting Peras dalam proses pengukuhan cerun, elak risiko tanah runtuh
MB: Jalan Genting Peras dalam proses pengukuhan cerun, elak risiko tanah runtuh

Oleh Danial Dzulkifly

BANGI, 13 JUN: Kerja baik pulih Jalan Genting Peras yang menghubungkan Hulu Langat, Selangor ke Jelebu, Negeri Sembilan kini dalam proses pengukuhan struktur cerun di sepanjang laluan berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cabaran utama bukan saja membaik pulih jalan berkenaan sebaliknya melibatkan kerja menstabilkan cerun yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Disember 2021.

“Kerja pembaikan tidak boleh dilakukan tergesa-gesa kerana risiko tanah runtuh masih ada jika cerun tidak diperkuatkan. Fokus kita adalah penyelesaian jangka panjang dan menyeluruh,” katanya pada sidang media majlis pra-pelancaran program Techsphere Summit 2025 di Hotel Tanera, di sini hari ini.

Mengulas gesaan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun supaya kerja baik pulih dipercepatkan, Amirudin menjelaskan walaupun lokasi tanah runtuh berada dalam wilayah Selangor, Negeri Sembilan turut menerima kesan secara langsung.

“Impaknya bukan hanya kepada Selangor, malah Negeri Sembilan turut terjejas. Oleh itu, kerja baik pulih perlu dilaksanakan dengan kaedah kejuruteraan teliti bagi memastikan keselamatan pengguna,” katanya.

Rabu lalu, Aminuddin berharap kerajaan Selangor dapat menyegerakan pembaikan Jalan Genting Peras-Kuala Klawang yang rosak akibat banjir empat tahun lalu.

Aminuddin berkata, jalan yang menghubungkan Jelebu dan Hulu Langat itu dapat mengurangkan kesesakan jalan raya terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah, selain menjadi laluan alternatif kepada pengguna jalan raya untuk ke Kuala Lumpur sekiranya ia dibuka semula.

Sementara itu Amirudin berkata EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim akan memberi penjelasan lanjut berhubung kelewatan kerja pembaikan jalan berkenaan dan perkara itu sudah dibincangkan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pada 19 Disember 2021, kejadian tanah runtuh menyebabkan penutupan kedua-dua lorong Jalan Genting Peras-Kuala Klawang.

Bahagian jalan di bawah pentadbiran Negeri Sembilan sudah dibaiki, namun laluan penuh masih belum dibuka kerana bahagian Selangor masih dalam proses kerja penstabilan.

[caption id="attachment_673749" align="aligncenter" width="1387"] EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim meninjau kerja baik pulih cerun di Jalan Genting Peras, Hulu Langat pada 3 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.