HULU LANGAT, 13 JUN: Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) dan RA Integration Links Sdn Bhd (RAILSB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa pendidikan dan latihan dalam industri rel.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, kerjasama strategik itu menyokong pelaksanaan Program Ikhtisas Smart Selangor serta melengkapkan agenda latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang giat diterajui Kerajaan Negeri.
[caption id="attachment_705524" align="aligncenter" width="742"] Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop bercakap kepada media selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman antara Selangor Technical Skills Development Centre dengan RA Integration Links Sdn Bhd di Hotel Tanera, Bangi, Hulu Langat pada 13 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“RAILSB mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang rel kereta api manakala STDC pula memiliki pelajar yang berbakat serta berkemahiran yang mungkin boleh dimanfaatkan bersama.
“Malah, kebanyakan jajaran rel seperti Transit Aliran Ringan, Transit Aliran Massa berada dan melalui Selangor. Dengan wujudnya kerjasama ini kita percaya banyak bakat anak muda dapat dilatih dan bersedia menyumbang tenaga bukan sahaja di Selangor tetapi juga di negeri lain,” kata Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU antara STDC dan RAILSB di Hotel Tenera, Bangi di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STDC Dr Harizal Hamid berkata program latihan dijangka bermula September ini melibatkan kumpulan pertama seramai 50 pelajar.
[caption id="attachment_705526" align="aligncenter" width="746"] Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Dr. Harizal Hamid bercakap kepada media selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman antara STDC dengan RA Integration Links Sdn Bhd di Hotel Tanera, Bangi pada 13 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pelajar STDC yang menamatkan pengajian Sijil Kemahiran Malaysia tahap tertentu akan ditempatkan dalam program ‘on-job-training’ di RAILSB dan kemungkinan besar diserap untuk memulakan kerjaya di industri berkenaan.
“Ini merupakan projek perintis yang kita cuba laksanakan kesinambungan daripada MoU hari ini dan ia juga memberi manfaat kepada pelajar berkenaan terutama dalam pembangunan kerjaya,” katanya.
Pengerusi RAILSB Yang Mulia Tengku Hishamuddin Zaizi pula menyifatkan usaha sama itu mampu memperkukuh bakat tempatan dalam industri rel serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“RAILSB memang berpengalaman luas dalam bidang kereta api, kita sudah lama bersedia untuk kerjasama berkongsi kepakaran terutama dengan Kerajaan Selangor dalam industri rel.
“Seperti Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Amirudin Shari) maklumkan tadi mungkin melalui semua industri yang ada ramai terlupa adanya industri berat seperti rel kereta api yang lebih moden hasil tangan anak tempatan,” katanya.
RAILSB yang diperbadankan pada 2016 merupakan firma kejuruteraan rel bersepadu dan antara contoh kejayaan syarikat tempatan dalam memperkukuh kepakaran industri rel negara.
Kini, syarikat itu menjalankan kerja penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih tahap tiga termasuk membabitkan 50 unit tren CRRC Zhuzhou bagi Laluan Ampang, memberi manfaat kepada ribuan pengguna setiap hari.
Lebih membanggakan, keseluruhan operasi dijalankan 100 peratus tenaga kerja tempatan hasil keberkesanan pembangunan TVET negara.