ad
AGENDA

Penyanyi antara tiga rakyat Malaysia ditahan di Laos, siasatan menyeluruh dijalankan

13 Jun 2025, 4:51 PM
Penyanyi antara tiga rakyat Malaysia ditahan di Laos, siasatan menyeluruh dijalankan

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Polis akan menjalankan siasatan menyeluruh berhubung tangkapan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang penyanyi rap di Laos atas kesalahan memiliki dadah, termasuk kemungkinan mereka diperdaya atau dipergunakan sindiket antarabangsa.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Razarudin Husain berkata Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) kini sedang meneliti maklumat yang diperoleh hasil soal siasat pihak berkuasa Laos.

“Siasatan merangkumi pelbagai sudut, termasuk kemungkinan mereka dijadikan keldai dadah atau terlibat dengan sindiket,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 25 hingga 29 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Vientiane pada 27 Mei lalu, setelah pemeriksaan terhadap enam bagasi milik mereka menemukan 103 bungkusan plastik mengandungi 86 kilogram ganja.

Razarudin berkata ketiga-tiga suspek dipercayai merancang menaiki penerbangan Thai Airways ke Jerman bagi menghantar bekalan dadah berkenaan dan kini ditahan di Penjara Phontong, Vientiane.

“Semakan Jabatan Imigresen Malaysia mendapati mereka berlepas ke luar negara dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 22 Mei. Namun, maklumat daripada pihak berkuasa Thailand menunjukkan tiada rekod kemasukan atau keluar ke negara itu,” katanya.

Razarudin berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa luar negara bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang mungkin terlibat, selain memastikan perlindungan konsular bagi ketiga-tiga rakyat Malaysia berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Razarudin ketika mengulas mengenai laporan awal nahas membabitkan Pasukan Simpanan Persekutuan di Teluk Intan, Perak pada 13 Mei lalu berkata beberapa cadangan khusus sedang diteliti jawatankuasa yang ditubuhkan bagi menambah baik aspek keselamatan kenderaan digunakan anggota untuk bertugas.

Beliau berkata cadangan itu termasuk, susun atur tempat duduk lebih selamat dan keperluan memisahkan sepenuhnya ruang penumpang dan kargo, lebih-lebih lagi dalam perjalanan ke lokasi operasi dan bukan ketika operasi sedang dijalankan.

“Perbincangan lanjut mengenai standard keselamatan dan protokol pengangkutan dijangka diteruskan dalam mesyuarat seterusnya, dengan penekanan kepada garis panduan lebih ketat serta penggunaan kenderaan khusus yang mematuhi spesifikasi keselamatan terkini,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.