SHAH ALAM, 13 JUN: Syarikat West Coast Expressway Sdn Bhd (WCE) menafikan dakwaan menggunakan kekerasan terhadap penduduk Kampung Jawa, Klang susulan pelaksanaan projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat.
Dalam kenyataan hari ini, WCE menjelaskan kekeliruan berlaku apabila segelintir pemilik tanah enggan mengosongkan kawasan yang telah diambil secara sah oleh Kerajaan Persekutuan mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Sehingga 30 September 2023, pampasan berjumlah RM9.8 juta telah diluluskan oleh pentadbir tanah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Selangor melalui Borang H, selepas pengambilan rasmi bagi Lot 15762 (11113).
“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 peratus atau RM7.4 juta telah dibayar kepada 33 pemilik tanah, iaitu 14 secara langsung dan 19 lagi melalui peguam,” kata syarikat itu.
Menurut WCE, selepas bayaran 75 peratus dibuat, pemilikan tanah berpindah sepenuhnya kepada kerajaan mengikut Seksyen 16 akta sama tanpa sebarang sekatan kepentingan.
Syarikat itu juga memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan pemilik tanah telah mengemukakan bantahan terhadap amaun pampasan melalui Borang N.
“Bantahan tersebut tidak menangguhkan atau menghalang pengambilalihan tanah secara sah selepas Borang K dikeluarkan dan bayaran 75 peratus diselesaikan.
“Prosiding mahkamah hanya tertumpu kepada penetapan amaun akhir pampasan dan tidak menjejaskan hak kerajaan untuk meneruskan pembangunan,” menurut kenyataan itu lagi.
Tambah WCE, keengganan berpindah selama lebih 20 bulan oleh beberapa pemilik tanah menyebabkan kelewatan pembinaan lebuh raya yang dijangka memberi manfaat besar kepada pengguna.
Syarikat itu turut menggesa semua pihak menghormati proses undang-undang dan tidak menyebarkan maklumat mengelirukan.
“Kami komited mematuhi undang-undang dan tidak teragak-agak mengambil tindakan sewajarnya untuk melindungi reputasi syarikat sekiranya perlu,” tegasnya.
Semalam, Ahli Dewan Negeri Sentosa meminta kontraktor yang dilantik WCE supaya tidak mengganggu penduduk Kampung Jawa yang terlibat dalam proses pengambilan tanah.
Dr Gunaraj George merujuk insiden pergaduhan yang dilaporkan berlaku antara pihak kontraktor dan penduduk kampung berkenaan pada Selasa lalu.
Polis turut mengesahkan menerima dua laporan berkaitan kejadian tersebut. Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan).
Difahamkan, pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (Taiping–Banting) Seksyen 3 dari persimpangan NKVE/FHR2–Mukim Klang bermula sejak 2015.
Lebuhraya sepanjang 233 kilometer itu menghubungkan Taiping, Perak ke Banting, Selangor dengan 21 persimpangan termasuk akses ke SKVE, NKVE, PLUS, NNKSB dan LATAR.