HULU LANGAT, 13 JUN: Seramai 170,000 pelajar bakal menerima manfaat Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2025 secara percuma dengan peruntukan keseluruhan RM12 juta, maklum Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RM11 juta diperuntuk bagi melaksanakan PTRS yang memfokuskan pelajar tingkatan empat dan lima, manakala RM1 juta bagi PDK untuk murid sekolah rendah mengikuti program intervensi literasi dan numerasi.
[caption id="attachment_705488" align="aligncenter" width="734"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di Hotel Tenera, Hulu Langat pada 13 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Lebih 130,000 pelajar menengah atas akan dibantu melalui modul komprehensif PTRS membabitkan enam subjek teras, selain kelas tambahan khas buat pelajar tingkatan lima daripada keluarga berpendapatan rendah.
“PDK pula menyasarkan 20,000 hingga 30,000 murid tahun satu hingga enam yang masih belum menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M),” katanya ketika merasmikan Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di sini hari ini.
Beliau berkata gabungan PTRS dan PDK dijangka mencapai 85 peratus daripada keseluruhan 200,000 pelajar yang disasar menerima manfaat program pendidikan negeri bagi penggal ini.
[caption id="attachment_705487" align="aligncenter" width="797"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan modul PTRS 2025 kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad pada program Tekad Pendidikan Kita Selangor 2025 di Hotel Tenera, Hulu Langat pada 13 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Pada majlis sama, Amirudin turut menyempurnakan penyampaian anugerah kecemerlangan kepada pelajar PTRS SPM 2024, penyerahan insentif Kecemerlangan SPM, Hadiah Pengajian IPT 2025 dan biasiswa anak syarikat Kerajaan Negeri.
PDK yang diperkenalkan julung kali tahun ini dilaksanakan bagi membantu murid sekolah rendah yang mengalami masalah 3M susulan gangguan pembelajaran akibat pandemik.
PTRS pula menumpukan bantuan akademik kepada pelajar menengah atas melalui mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan.