ad
AGENSI

Kadar derma darah masih rendah, jauh banding sasaran nasional

13 Jun 2025, 1:00 PM
Kadar derma darah masih rendah, jauh banding sasaran nasional
Kadar derma darah masih rendah, jauh banding sasaran nasional

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 13 JUN: Kadar derma darah di Malaysia masih rendah dengan hanya sekitar 2.3 peratus daripada jumlah populasi setakat ini, kata seorang pakar patologi hematologi.

Menurut Dr Fatmawati Kamal, jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding piawaian kebangsaan lima peratus atau sekurang-kurangnya 3.5 peratus menjelang 2030.

"Kalau boleh kita mahu lebihan bekalan darah. Kalau tidak, mungkin itulah (angka) paling realistik (3.5 peratus) untuk dicapai dalam jangka masa tersebut," katanya dalam program Bicara Semasa, baru-baru ini.

Jelasnya, kapasiti hospital sedia ada tidak mencukupi untuk menampung keperluan darah semasa, justeru lebih ramai rakyat digalakkan bertindak bagi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.

[caption id="attachment_542602" align="aligncenter" width="705"] Bekalan darah untuk kegunaan Pusat Perkhidmatan Darah Hospital Tuanku Jaafar hasil dari penderma yang menyertai Program Derma Darah Yayasan Matrix Concept dan Pusat Perubatan Mawar di hospital tersebut pada 23 Julai 2022. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, beliau mencadangkan kempen dan perkhidmatan derma darah bergerak dibuat lebih kerap terutama di luar Lembah Klang supaya mudah diakses masyarakat.

"Memang ada pusat beli-belah yang memiliki tapak khusus yang menawarkan peluang untuk menderma darah, tetapi kebanyakannya berada di Lembah Klang," katanya.

Sebelum ini, Pusat Darah Negara mendedahkan kurang kesedaran dan tiada peluang menderma darah antara faktor jumlah kumpulan penderma berusia 17 sehingga 24 tahun masih rendah.

Pengarahnya Dr Mohamad Masrin Md Zahrin berkata kira-kira 21 peratus sahaja yang menderma darah setakat ini, dan mereka hanya berbuat demikian jika kempen dianjur di universiti.

Menurutnya, apabila mereka tamat pengajian dan mula bekerja, peluang menderma darah tiada lagi berikutan ia perlu dicari sendiri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.