ad
AGENSI

Derma darah, antara mitos dan cabaran

13 Jun 2025, 11:00 AM
Derma darah, antara mitos dan cabaran

Oleh AIDA NYAN

SHAH ALAM, 13 JUN: Isu berkaitan kesan derma darah masih menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat, dengan dakwaan ia boleh melemahkan badan dan menurunkan tekanan darah.

Ini kerana ada yang mendakwa terasa mahu pitam atau loya selepas menderma darah, namun pakar patologi hematologi menjelaskan ia situasi tidak serius dan jarang berlaku.

"Kalau kita lepas semua pemeriksaan oleh kakitangan perubatan, bermaksud kita boleh menderma darah. Tiada apa-apa kesan buruk kepada kita," kata Dr Fatmawati Kamal dalam program Bicara Semasa.

"Sepatutnya tiada kesan sampingan selain daripada lebam dicucuk jarum."

Menurut pakar dari Jabatan Makmal Diagnostik Klinikal Hospital Al-Sultan Abdullah itu, bilangan penderma darah masih rendah kerana ramai hilang kelayakan akibat faktor usia dan isu kesihatan.

Jelas Dr Fatmawati, cabaran lain termasuk penderma tiada masa selain kurangnya keterlibatan golongan muda sebagai penderma baharu untuk menampung kekurangan bekalan darah.

Beliau berkata takut kepada jarum juga menjadi punca terdapat segelintir masyarakat yang membatalkan niat mereka untuk menjadi penderma darah aktif.

"Takut tengok jarum bukan satu alasan sebab kita beri suntikan bius. Ramai begitu mula-mula, tetapi dia kena atasi persepsi awal yang dia takut darah," katanya lagi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.