ad
BERITA UTAMA

Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri

13 Jun 2025, 10:00 AM
Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri
Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri
Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri
Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri
Bangkit selepas perceraian, usahawan Hijrah Selangor kini majukan spa sendiri

SHAH ALAM, 15 JUN: Di sebalik sebuah spa yang kini beroperasi selesa di tengah bandar Shah Alam, tersimpan kisah kecekalan seorang wanita yang pernah kehilangan segalanya, namun bangkit semula dengan semangat luar biasa.

Erwana Juaneh, pengurus D’Wana Spa Beauty and Health, bukan sekadar pengusaha perniagaan kecil. Beliau adalah lambang keberanian seorang wanita yang bangkit dari episod perceraian, membesarkan anak-anak sendiri dan membina semula kehidupan dari titik paling bawah.

“Saya bermula dengan mengurut dari rumah ke rumah… waktu itu cuma niat nak bantu suami cari rezeki. Tapi selepas bercerai, urutan jadi sumber utama untuk teruskan hidup,” kongsi Erwana dengan tenang.

[caption id="attachment_705142" align="aligncenter" width="673"] Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Pernah hanya menyewa bilik kecil di Padang Jawa, beliau kini mampu mengusahakan spa berlesen sendiri, lengkap dengan khidmat profesional dan beberapa orang pekerja. Semua ini tercapai dengan bantuan berperingkat dari Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) yang memberikan pinjaman dan bimbingan sejak lebih 10 tahun lalu.

Semuanya bermula selepas Erwana diserang strok pada usia 28 tahun. Pengalaman pulih melalui terapi urutan menyedarkannya tentang nilai rawatan sentuhan yang akhirnya menjadi punca rezekinya hari ini.

“Waktu strok dulu, doktor kata saya sihat… rupanya tekanan. Selepas berurut, badan rasa lega. Dari situ saya mula minat, cari kursus walau yuran RM100 waktu itu pun rasa sangat mahal,” katanya tersenyum.

[caption id="attachment_705143" align="aligncenter" width="715"] Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh menunjukkan anugerah Hijrahpreneur award 2024 yang diterima ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Ketika hidupnya goyah selepas perceraian, Hijrah Selangor tampil memberi peluang. Bermula dengan pinjaman RM2,000, kemudian meningkat sedikit demi sedikit hingga mencecah lebih RM70,000 secara keseluruhan dana itulah yang membantunya menyewa premis, beli kelengkapan, dan menambah kemahiran.

“Hijrah bantu banyak. Mereka bukan hanya bagi pinjam duit, tapi juga bimbing. Tanya khabar perkembangan bisnes, beri kursus. Saya rasa dihargai,” ujarnya penuh syukur.

Bukan mudah. Banyak malam gelap yang dilalui antaranya motosikal satu-satunya rosak di jalan, wang minyak habis dan tiada saudara mara untuk bersandar. Tapi Erwana tidak pernah putus asa.

[caption id="attachment_705497" align="aligncenter" width="705"] Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh memberikan khidmat rawatan kepada pelanggan ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Hari ini, dengan pendapatan kasar sekitar RM19,000 sebulan, Erwana bukan saja mengubah hidupnya sendiri, malah melatih orang lain selepas melengkapkan diri dengan Sijil Kemahiran Malaysia dan kelayakan sebagai Pegawai Latihan Vokasional (VTO).

“Kalau saya boleh buat, orang lain pun boleh. Jangan putus asa,” pesannya penuh makna.

Hijrah Selangor menawarkan bantuan modal khusus kepada golongan wanita di negeri ini yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan.

Bantuan modal di bawah skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) menyediakan pembiayaan sehingga RM50,000.

Pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.

[caption id="attachment_705500" align="aligncenter" width="689"] Pengurus D’Wana Spa Beauty and Health Shah Alam Erwana Juaneh ketika ditemui media selangor di premis beliau pada 9 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.