ad
AGENDA

MOT syor kenderaan berat pasang perakam data, kamera papan pemuka

12 Jun 2025, 4:30 PM
MOT syor kenderaan berat pasang perakam data, kamera papan pemuka

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan disyor mewajibkan pemasangan perakam data dan teknologi pemantauan seperti kamera papan pemuka ke atas semua kenderaan berat komersial susulan nahas lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bulan lalu.

Laporan awal siasatan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang dikeluarkan hari ini turut menekankan kepentingan pematuhan ketat terhadap pemakaian tali pinggang keledar dalam semua kenderaan, termasuk milik agensi dan jabatan kerajaan.

“Penegasan kepada agensi dan jabatan kerajaan supaya memastikan pemakaian tali pinggang keledar dipatuhi sepenuhnya dalam semua kenderaan milik kerajaan.

“Mewajibkan pemasangan perakam data dan teknologi pemantauan ke atas semua kenderaan berat seperti sistem Global Navigation Satellite System, kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata,” menurut laporan itu.

Pasukan Petugas Khas yang menyiasat kejadian turut mencadangkan pemasangan kamera papan pemuka pada semua kenderaan kerajaan bagi memudahkan pemantauan operasi serta meningkatkan aspek keselamatan.

Dari sudut pengurusan pergerakan, laporan itu turut mengesyorkan penggunaan bas bagi tujuan rasmi yang tidak melibatkan operasi terutama jika membawa penumpang dalam jumlah besar.

Pada 13 Mei lalu, 18 anggota FRU dari Unit 5 Sungai Senam, Perak terbabit dalam nahas membabitkan lori tipper membawa batu kerikil kira-kira jam 8.50 pagi, mengakibatkan sembilan daripada mereka terkorban.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.