Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 12 JUN: Ketiadaan tali pinggang keledar dan penyandar kepala di lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dikenal pasti sebagai faktor utama korban tinggi dalam nahas melibatkan pertembungan dengan lori muatan batu kerikil.
Menurut laporan awal siasatan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang diterbitkan hari ini, rekaan tempat duduk jenis bangku (bench) di kabin belakang FRU tanpa ciri keselamatan asas turut menyumbang kepada risiko kecederaan dan kematian yang tinggi.
“Ketiadaan tali pinggang keledar dan reka bentuk tempat duduk jenis bangku di bahagian belakang lori FRU menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi,” menurut laporan tersebut.
Laporan turut mendedahkan tempat duduk yang digunakan tidak mematuhi spesifikasi keselamatan antarabangsa seperti digariskan dalam Peraturan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No. 17 dan No. 80.
Dalam kejadian itu, lori tipper yang membawa muatan batu kerikil didapati memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan FRU yang sedang dalam konvoi.
Akibat pelanggaran tersebut, kedua-dua lori terbalik ke kiri dan berhenti dalam keadaan mengiring. Laporan menyebut keadaan cuaca ketika itu baik dan permukaan jalan kering.
Pemeriksaan ke atas lori tipper juga mendapati ia membawa muatan melebihi had dan gagal dalam Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) dengan skor 15 peratus berbanding markah lulus minimum 70 peratus. Kenderaan itu turut gagal dalam semua tujuh aspek pemeriksaan mandatori.