ad
AGENDA

Laporan nahas FRU: Lori tiada kebenaran bawa muatan batu, melebihi had dibenar

12 Jun 2025, 10:01 AM
Laporan nahas FRU: Lori tiada kebenaran bawa muatan batu, melebihi had dibenar

Oleh Ufairah Tarmidzi

SHAH ALAM, 12 JUN: Laporan awal siasatan Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mendedahkan lori muatan batu kerikil yang terlibat dalam kemalangan dengan lori Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan pada bulan lalu dipercayai melebihi had muatan dibenarkan.

Menurut laporan itu, lori jenis tipper yang sepatutnya hanya dibenarkan membawa muatan arang batu, namun ketika kejadian ia membawa batu kerikil dengan muatan mencecah 40,960 kilogram (kg).

“Bacaan muatan direkodkan adalah 40,960 kgiaitu melebihi 70.67 peratus dengan Berat Dengan Muatan (BDM) yang dibenarkan iaitu 24,000 kg sekaligus meningkatkan tenaga kinetik pada kenderaan tersebut.

“Lori berkenaan melanggar syarat Lesen Kebenaran Bertulis yang diperuntukkan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010," menurut laporan berkenaan.

Sementara itu, laporan tersebut turut mendedahkan tindakan pemandu lori terbabit yang memasuki lorong arah bertentangan dikenal pasti menjadi punca utama kemalangan sehingga meragut sembilan anggota FRU.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca sebenar pemandu lori itu memasuki laluan bertentangan.

Laporan berkenaan turut menyatakan bahawa siasatan lanjut oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang dijalankan dan kertas siasatan akan diserahkan kepada pihak pendakwaan dalam masa terdekat.

“Ketiadaan tali pinggang keledar dan reka bentuk tempat duduk ‘bench’ di bahagian belakang lori FRU menyumbang kepada jumlah korban yang tinggi, “ menurut laporan itu.

Pada 13 Mei lalu, lori FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kerikil kira-kira jam 8.50 pagi.

Susulan itu, lapan anggota maut di lokasi kejadian dan seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan manakala sembilan lagi cedera.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.