SHAH ALAM, 11 JUN: Ibu bapa yang mempunyai anak kurang upaya kategori lumpuh otak (palsi serebrum) dipelawa menghadiri kursus percuma teknik asas komunikasi dan penjagaan, Sabtu ini.
Anak Istimewa Selangor (ANIS) memaklumkan menerusi Facebook, kursus itu terbuka kepada 40 peserta dan hanya boleh disertai sama ada ibu atau bapa atau penjaga anak istimewa terbabit.
“Program ini khusus untuk ibu bapa kepada individu palsi serebrum bagi program Caregiver Skills Training yang bertajuk Teknik Asas Komunikasi Dan Penjagaan Motor Oral di bawah Program Cerebral Palsy Care Unit (CPCU),” katanya.
Menurut ANIS, kursus yang bermula jam 8.30 pagi hingga 1 tengah hari turut menyediakan sarapan pagi dan makan tengah hari percuma selain tempat penjagaan anak.
Tambahnya, program yang akan diadakan di Dewan Jasmine, Pusat Sokongan Pendidikan Awal ANIS, Seksyen 15, di sini hanya terbuka kepada pengundi Selangor sahaja.
Untuk maklumat lanjut hubungi talian 03-5545 3170 (Puan Azlin) dan pendaftaran boleh dibuat menerusi pautan https://forms.gle/qqEU3HurMiL4kFQBA
Program CPCU mula dilaksanakan bawah Jabatan ANIS bermula Oktober 2023 sebagai inisiatif membantu memenuhi keperluan spesifik individu yang dikategori lumpuh otak.