KLANG, 11 JUN: Keputusan bantahan cadangan pembinaan bangunan memorial di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang diketahui selewatnya Ogos depan.
Timbalan Datuk Bandar Klang Mohd Zary Affendi Mohd Arif berkata perkara itu akan dimuktamad selepas mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Setempat (OSC) dijalankan.
“Proses meletakkan notis bantahan pembinaan memorial ini betul dan dibenarkan dalam tempoh 21 hari. Selepas itu, kita akan panggil kedua-dua pihak serentak dalam mesyuarat bantahan bagi mendengar hujah masing-masing.
“Kita akan panggil dalam tempoh dua minggu selepas tamat notis bantahan iaitu esok (12 Jun) sebelum dibawa ke mesyuarat OSC yang diadakan dua kali sebulan.
[caption id="attachment_705237" align="alignleft" width="500"] Timbalan Datuk Bandar Klang Mohd Zary Affendi Mohd Arif bercakap kepada media selepas menerima memorandum bantahan rasmi daripada penduduk berhubung cadangan pembinaan bangunan memorial setinggi empat tingkat bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda di Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 11 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Selepas dibincang nanti, dijangka keputusan berhubung cadangan projek ini diketahui paling awal Julai atau selewatnya Ogos. Buat masa ini, MBDK tidak meluluskan sebarang peojek dan ia masih di peringkat cadangan,” katanya.
Ditemui di ibu pejabat MBDK, beliau memaklumkan setakat ini, lebih 500 memorandum bantahan diterima daripada perseorangan, pentadbiran masjid dan pertubuhan bukan kerajaan sejak Jumaat lalu.
Terdahulu, beliau menerima memorandum bantahan daripada penduduk Kampung Raja Uda yang diketuai wakil rakyat Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri.
Sebelum ini, media melaporkan majoriti penduduk membantah projek bangunan memorial membabitkan Lot 82022, PT 3243 (Lot 29148), PT 3244 (Lot 29146) dan PT 3245 (Lot 29147) yang terletak berhampiran masjid kampung tersebut.
[caption id="attachment_705214" align="aligncenter" width="1102"] Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri bersama penduduk mengadakan bantahan aman berhubung cadangan pembinaan bangunan memorial setinggi empat tingkat bersebelahan Masjid Kampung Raja Uda di pekarangan ibi pejabat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 11 Jun 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]