ad
AGENDA

Kadar pengangguran tiga peratus pada April, terendah dalam tempoh 10 tahun

11 Jun 2025, 4:09 PM
Kadar pengangguran tiga peratus pada April, terendah dalam tempoh 10 tahun
Kadar pengangguran tiga peratus pada April, terendah dalam tempoh 10 tahun

PUTRAJAYA, 11 JUN: Kadar pengangguran Malaysia menurun daripada 3.1 peratus pada Mac kepada tiga peratus pada April, iaitu terendah dalam tempoh 10 tahun, menurut Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi April 2025 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bilangan penganggur berkurangan 0.7 peratus kepada 525,900 orang pada April 2025, berbanding 529,600 pada Mac.

“Kedudukan ekonomi negara yang meyakinkan telah menyumbang kepada tenaga buruh yang stabil pada bulan itu, dengan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh yang lebih tinggi, manakala kadar pengangguran terus menurun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bilangan tenaga buruh menunjukkan trend menaik pada April, dengan peningkatan 0.2 peratus kepada 17.34 juta orang berbanding 17.31 juta pada Mac.

“Oleh itu, kadar penyertaan tenaga buruh naik 0.1 mata peratus kepada 70.8 peratus berbanding 70.7 peratus pada Mac, menunjukkan penyertaan lebih ramai buruh dalam pasaran,” katanya.

[caption id="attachment_632590" align="alignleft" width="500"] Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto BERNAMA[/caption]

Dari sudut sektor ekonomi, Mohd Uzir berkata sektor perkhidmatan berada dalam trend peningkatan, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, penginapan, perkhidmatan makanan dan minuman, serta aktiviti pengangkutan dan penyimpanan.

Beliau berkata bilangan penduduk bekerja turut meningkat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian, serta perlombongan dan pengkuarian.

Mohd Uzir berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.3 peratus pada April 2025, melibatkan 298,300 penganggur belia.

Beliau berkata bilangan penduduk di luar tenaga buruh meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 7.17 juta orang pada April berbanding 7.16 juta pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kerja rumah dan tanggungjawab keluarga yang merangkumi 43.7 peratus, diikuti bersekolah dan latihan 41.1 peratus.

Mohd Uzir berkata tenaga buruh negara dijangka terus optimis dan berkembang menjelang bulan berikutnya pada tahun ini, disokong oleh kekukuhan dasar ekonomi dan kestabilan permintaan domestik.

“Walaupun terdapat ketegangan geopolitik global, tenaga buruh Malaysia dilihat akan terus berdaya tahan berikutan pengangguran yang stabil, perkembangan sektor perkhidmatan dan teknologi, serta peningkatan pelaburan dalam digitalisasi dan automasi,” tambahnya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.