ad
PENDAPAT

Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor

11 Jun 2025, 2:55 PM
Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor
Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor
Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor
Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor
Pakar: Taman Aero ada potensi besar, nadi ekonomi baharu Selangor

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 11 JUN: Taman Aero Selangor (SAP) dijangka menjadi pemangkin kepada sektor aeroangkasa dan logistik negara selaras hasrat Malaysia sebagai hab utama kargo udara dan logistik Asean.

Dilancarkan secara rasmi pada 5 Jun, SAP menjadi tumpuan utama dalam strategi pembangunan aeroangkasa Selangor, bawah pelan induk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mencakupi 600 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.3 bilion, taman itu bertujuan menarik pemain industri global terkemuka membabitkan rantaian nilai aeroangkasa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sambungan udara, darat dan laut bersepadu dalam SAP akan meningkatkan kecekapan dan kelebihan daya saing kepada pengeksport dan pengeluar rantau ini.

Projek itu mencapai mercu tanda penting dengan majlis pecah tanah yang diadakan bersama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

Bagi Selangor, taman itu dijangka menguasai sehingga 73 peratus aktiviti ekonomi aeroangkasa negara dan mewujudkan lebih 20,000 pekerjaan mahir menjelang 2035.

Usaha itu sekali gus mengukuhkan kepimpinan negeri dalam sektor yang pesat berkembang. SAP menarik minat global, termasuk komitmen awal GE Aerospace untuk separuh fasa pertama.

Pembangunan itu direka untuk menarik pemain utama seperti Airbus, Boeing, dan syarikat rantaian nilai aeroangkasa, termasuk kejuruteraan ketepatan, pembuatan maju, dan logistik bersepadu.

[caption id="attachment_704402" align="aligncenter" width="815"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook (tengah) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga kanan) melakukan gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Sambungan yang dipertingkat melalui projek rel Kita Selangor dan lapangan terbang juga dijangka meningkatkan daya tarikan strategik SAP sebagai kuasa logistik dan penerbangan serantau.

Meskipun prospek SAP kukuh, Penasihat Ekonomi Kanan Institut Strategik KSI Asia Pasifik Anthony Dass memberi amaran kejayaannya lebih daripada sekadar peningkatan infrastruktur.

Beliau menekankan kepentingan mengekalkan bakat aeroangkasa terbaik, mempermudah birokrasi, dan memperkenal dasar jelas dalam menjadikan SAP sebagai hab aeroangkasa dan logistik yang maju.

Tanpa menangani faktor penting itu, Malaysia berisiko ketinggalan berbanding pesaing serantau seperti Singapura dan Sarawak yang aktif memperkukuh ekosistem aeroangkasa mereka.

“Pada masa ini, rel Kita Selangor yang dicadangkan diperlukan untuk menghubungkan KLIA, Lapangan Terbang Subang, Pelabuhan Klang, dan pelabuhan baru di Pulau Carey.

“Sambungan ini akan meningkatkan kecekapan logistik SAP dan menjadikan Selangor sebuah kuasa penerbangan dan logistik yang bersepadu sepenuhnya,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau juga menyuarakan kebimbangan mengenai masalah infrastruktur berterusan lapangan terbang, seperti penangguhan terlalu lama KLIA Aerotrain, yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur.

[caption id="attachment_704415" align="aligncenter" width="781"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat tapak Selangor Aero Park pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Kemudahan tidak lengkap dan lanjutan tarikh akhir berulang kali, katanya, mengecewakan orang ramai dan membimbangkan pihak industri, menonjolkan risiko penyelenggaraan dan pelaksanaan projek lemah.

“Hab aeroangkasa dan logistik bertaraf dunia bergantung kepada sambungan dalaman yang lancar. Masalah berterusan infrastruktur boleh menggugat kepercayaan pelabur bernilai tinggi,” kata Dass.

Beliau menambah peningkatan penting lain seperti sistem pengendalian bagasi dan kawalan pasport automatik (e-gates) mesti disiapkan dengan cepat dan cekap untuk mengekalkan daya saing KLIA.

“Kadar dan keberkesanan peningkatan ini adalah kritikal,” katanya menambah kegagalan memodenkan kemudahan lapangan terbang boleh menjejaskan daya tarikan logistik SAP.

Dampak potensi SAP

Menjadi bahagian penting Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, SAP dijangka memacu sasaran nasional tahunan RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan menjelang 2030.

Dengan kemudahan lengkap dan lokasi strategik, SAP bersedia menarik pengeluar peralatan asal (OEM) utama, firma aeroangkasa Tier One, dan pemain rantaian bekalan berteknologi tinggi.

Dass berkata walaupun SAP adalah pembangunan baharu, kawasan sekitar KLIA Aeropolis sudah menarik pemain industri penting.

[caption id="attachment_704414" align="aligncenter" width="766"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pecah tanah perasmian pada Majlis Pelancaran Selangor Aero Park @KLIA Aeropolis di Selangor Aero Park, Sepang pada 5 June 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Ahli ekonomi Universiti Teknologi Petronas Samirul Ariff Othman berkongsi pandangan sama mengenai potensi transformasi taman itu, dengan menyatakan lokasi strategik SAP berhampiran KLIA menawarkan kelebihan ekonomi yang jelas melebihi kapasiti pengangkutan kargo sahaja.

“Penubuhan SAP berhampiran KLIA mewakili langkah transformasi dalam strategi penerbangan dan logistik Malaysia,” katanya.

Samirul menambah lokasinya berhampiran KLIA dan Pelabuhan Klang membolehkan integrasi udara-laut-darat tanpa gangguan — penting untuk mengurangkan masa dan kos dalam rantaian bekalan.

“Dengan memudahkan aktiviti seperti kejuruteraan ketepatan dan MRO, taman ini mengangkat Malaysia ke rantaian nilai penerbangan melebihi pengangkutan kargo udara,” katanya.

Mengenai potensi manfaat ekonomi negeri, Samirul berkata Selangor, yang sudah menjadi kuasa industri Malaysia, akan mendapat keuntungan besar.

“Selangor akan mendapat manfaat dalam pelbagai cara; peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan domestik, menarik pemain aeroangkasa global dan PKS tempatan,” katanya.

[caption id="attachment_704404" align="aligncenter" width="814"] Menteri Pengangkutan Antony Loke Siew Fook, bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat ke tapak Taman Aero Selangor @KLIA Aeropolis di Aero Park, Sepang pada 5 Jun 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

KLIA Aeropolis dan SAP juga boleh membantu mengukuhkan Sepang-Cyberjaya sebagai koridor teknologi-industri serantau, menghubungkan aeroangkasa, teknologi hijau, dan ekonomi digital.

“Pendek kata, ia selaras dengan cita-cita Selangor untuk memimpin dalam industri berteknologi tinggi yang berorientasikan eksport,” kata Samirul.

Mengubah peranan KLIA

Mengenai peranan masa depan KLIA, beliau berkata SAP boleh mengubah lapangan terbang itu sebagai pintu masuk logistik-industri seperti di Amsterdam, Belanda atau Incheon di Seoul, Korea Selatan.

“SAP meningkatkan peranan KLIA bukan sahaja sebagai lapangan terbang penumpang dan kargo tetapi juga pintu masuk logistik-industri seperti Schiphol atau Incheon,” kata Samirul.

Ini akan memacu peningkatan infrastruktur dan mewujudkan ribuan pekerjaan baharu dalam pemasangan aeroangkasa, kejuruteraan, logistik, dan perkhidmatan sokongan.

“Anggaran boleh mencecah puluhan ribu pekerjaan baru dalam tempoh sedekad,” katanya.

Lokasi SAP berhampiran Pelabuhan Klang dan KLIA, dengan potensi infrastruktur pintar, ideal untuk firma yang mencari ibu pejabat serantau dan operasi logistik bersepadu.

Untuk memaksimumkan potensi itu, beliau mengesyorkan insentif seperti Zon Pelaburan Khas dan pusat fasilitasi pelabur untuk menarik OEM dan pembekal Tier One.

“Jika dilaksanakan dengan baik, ia boleh menjadi penanda aras serantau untuk hab pengangkutan-industri bersepadu, meningkatkan daya saing ekonomi Selangor, dan akhirnya membuka potensi jangka panjang KLIA sebagai aerotropolis sebenar,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.