ad
BERITA UTAMA

Waris pelajar maut terima pampasan, pinjaman biasiswa Selangor dilupus

11 Jun 2025, 2:00 PM
Waris pelajar maut terima pampasan, pinjaman biasiswa Selangor dilupus
Waris pelajar maut terima pampasan, pinjaman biasiswa Selangor dilupus

SHAH ALAM, 11 JUN: Keluarga penerima biasiswa Selangor, Ku Adib Aizad Ku Azmi yang maut dilanggar, Oktober tahun lalu menerima pampasan lindungan takaful berjumlah RM20,803.67.

Serahan dibuat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kepada ibu bapanya, Ku Azmi Saad dan Hafizah Iszahanid dalam satu majlis di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Selain pampasan, pentadbiran turut melupuskan pinjaman pendidikan Allahyarham menerusi Tabung Kumpulan Biasiswa Negeri Selangor (TKWBNS) sebanyak RM15,050.

Sementara itu, Ku Azmi, 48, menghargai sumbangan diberikan negeri serta memudahkan proses melupus pembiayaan pendidikan anak sulungnya.

“Malam kejadian, Dato’ Seri datang ziarah. Kami maklumkan arwah penerima biasiswa Selangor, jadi macam mana dengan baki. Perlu bayar balik atau tidak.

“Dato’ Seri kata macam (pinjaman) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Baki dikecualikan. Jadi kami sediakan dokumen. Kerajaan Negeri minta bagi tempoh dan hari ini dapat tahu tak perlu bayar. Diberi lagi insurans,” katanya.

[caption id="attachment_667503" align="alignnone" width="794"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertanya khabar Ku Azmi Saad bapa kepada penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun Allahyarham Ku Adib Aizad Ku Azmi ketika berkunjung ke kediaman mereka di Taman Sri Pristana, Saujana Utama pada 10 Oktober 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Dalam kejadian pada 9 Oktober, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Terengganu, Kampus Dungun bersama dua kawannya meninggal dunia selepas motosikal dinaiki dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di UiTM Dungun.

Turut maut dalam kemalangan ialah Khairil Anwar Jamaludin dan Muhammad Akmal Md Tukirin. Seorang lagi rakan mereka, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan parah.

Ketika kejadian, Ku Azmi dan Hafizah dalam perjalanan ke Mekah mengerjakan umrah. Bagaimanapun setibanya di sama, kedua mereka terus berpatah balik ke tanah air.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.