ad
AGENDA

Sejarah tercipta, beregu lelaki negara kuasai ranking pertama, kedua dunia

10 Jun 2025, 7:28 PM
Sejarah tercipta, beregu lelaki negara kuasai ranking pertama, kedua dunia
Sejarah tercipta, beregu lelaki negara kuasai ranking pertama, kedua dunia

SHAH ALAM, 10 JUN: Arena badminton Malaysia mencatat sejarah apabila dua pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia–Soh Wooi Yik masing-masing menduduki ranking pertama dan kedua dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Pencapaian ini adalah kali pertama dalam sejarah badminton negara yang menyaksikan dua beregu lelaki negara berjaya menguasai dua kedudukan teratas dunia secara serentak mengikuti kemas kini terbaharu dikeluarkan badan induk itu, lapor portal Berita Harian.

Sekalipun tersingkir di pusingan pertama Terbuka Indonesia minggu lalu, Aaron–Wooi Yik merampas kedudukan dua dunia daripada pasangan Denmark, Kim Astrup–Anders Skaarup Rasmussen yang gagal mengulangi pencapian mara ke separuh akhir di Jakarta pada edisi kali ini.

Sze Fei–Izzuddin pula berjaya mengisi kedudukan teratas dunia itu menerusi kemas kini ranking pada dua minggu lalu dan turut merampas kedudukan itu daripada Astrup–Skaarup.

[caption id="attachment_705078" align="aligncenter" width="680"] Aksi beregu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika perlawanan separuh akhir menentang beregu India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di Terbuka Singapura 2025 pada 31 Mei 2025. Foto Facebook Badminton Association of Malaysia – BAM[/caption]

Sementara itu, pasangan beregu wanita utama negara Pearly Tan–M Thinaah seperti dijangka memperbaiki catatan ranking dunia mereka apabila kini menghuni tangga ketiga dunia - ranking tertinggi pernah dicapai dalam kerjaya mereka.

Kali terakhir pasangan beregu wanita negara berada di kedudukan lebih tinggi daripada itu adalah pada 2009 menerusi gandingan Chin Eei Hui–Wong Pei Tty yang ketika itu bergelar pasangan nombor satu dunia.

Pearly-Thinaah berpeluang memperbaiki kedudukan mereka ke tangga kedua dunia jika berjaya menjuarai kejohanan Terbuka Jepun yang dijadual berlangsung bulan depan dengan kedudukan itu ketika ini diduduki pasangan tuan rumah, Chiharu Shida–Nami Matsuyama.

Dalam pada itu, tiada perubahan membabitkan kedudukan beregu lelaki Man Wei Chong–Tee Kai Wun yang kekal di tangga ketujuh dunia.

Dalam kategori beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mengekalkan status sebagai beregu campuran terbaik negara dengan menghuni kedudukan keempat dunia hasil kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Indonesia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.