SHAH ALAM, 10 JUN: Kementerian Kesihatan merakamkan penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani insiden kemalangan bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi semalam.
Menterinya Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata beliau amat menghargai kerjasama erat antara Hospital Gerik, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak, pasukan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), polis serta agensi lain yang bertugas di lokasi kejadian.
“Seramai 15 pegawai perubatan, 35 paramedik dan lima ambulans telah digerakkan pantas ke lokasi, disokong petugas kesihatan daerah. Ini bukti bahawa semangat kita sebagai satu pasukan kekal utuh dalam menghadapi apa jua cabaran,” katanya di Facebook.
Beliau turut tersentuh dengan kisah dikongsi Dr Muhammad Adam yang menggambarkan komitmen luar biasa para petugas demi menyelamatkan nyawa.
"Inilah wajah sebenar petugas kesihatan negara. Tidak pernah kenal erti penat, tidak meminta pujian," katanya sambil menegaskan komitmennya untuk terus memperjuangkan kebajikan dan keupayaan petugas kesihatan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam, bas sewa khas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah Perodua Alza lalu terbalik.
Kemalangan berhampiran Tasik Banding, Gerik itu meragut nyawa 15 pelajar manakala tujuh lagi cedera parah.