SHAH ALAM, 10 JUN: Siasatan berhubung kemalangan tragis membabitkan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berhampiran Tasik Banding, Gerik semalam masih diperingkat awal.
Justeru, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, masih terlalu awal untuk pihaknya membuat kesimpulan punca sebenar kejadian yang meragut 15 nyawa itu, lapor Berita Harian.
"Biar siasatan berjalan dan selepas ini kita akan umumkan hasil siasatan, masih terlalu awal lagi untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.
[caption id="attachment_704860" align="aligncenter" width="686"] Keadaan bas selepas kemalangan maut yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak pada 9 Jun 2025. Foto Facebook Bernama[/caption]
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-41 Persatuan Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kuala Lumpur hari ini.
Semalam, media melaporkan, polis menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat insiden itu secara menyeluruh.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata polis akan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat kemalangan itu secara menyeluruh.
Katanya, siasatan akan dilakukan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Pengangkutan Awam Darat dan pihak berkaitan.
[caption id="attachment_704960" align="aligncenter" width="687"] Kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Alza dipercayai dilanggar dari belakang oleh bas yang membawa penuntut UPSI di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, Gerik, pada 9 Jun 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam, bas sewa khas yang membawa 42 pelajar UPSI dari Jertih, Terengganu dilaporkan hilang kawalan sebelum melanggar sebuah Perodua Alza lalu terbalik.
Seramai 15 pelajar maut manakala tujuh lagi cedera parah.