ad
ADN

Aidiladha: DUN Sungai Air Tawar korban 26 kambing, 20 lembu

10 Jun 2025, 12:43 PM
Aidiladha: DUN Sungai Air Tawar korban 26 kambing, 20 lembu

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 26 ekor kambing dan 20 lembu dikorbankan menerusi program Ibadah Korban Perdana anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar.

Wakil rakyatnya Datuk Rizam Ismail berkata program tahunan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha itu turut mendapat kerjasama daripada Parlimen Sabak Bernam.

“Semua lembu dan daging korban ini adalah sumbangan daripada Kerajaan Selangor, pusat khidmat masyarakat DUN Sungai Air Tawar, Parlimen Sabak Bernam dan syarikat korporat.

“Ibadah korban dilaksanakan secara berperingkat pada hari ini dan esok di beberapa buah masjid, surau, sekolah dan agensi kerajaan di daerah ini,” katanya kepada Media Selangor.

Rizam berkata pihaknya menghargai sumbangan yang diberikan dan berharap inisiatif ini dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara penyumbang dan penerima.

“Daging korban ini diagihkan kepada penduduk setempat dan asnaf di sekitar daerah ini. Semoga ia sedikit sebanyak memberi keceriaan kepada penerima dalam menyambut Aidiladha.

“Saya berharap ibadah korban juga dipermudahkan selain dapat mengeratkan hubungan dan kasih sayang sesama umat Islam,” katanya lagi.

Sebelum ini, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Dato’ Ir Izham Hashim memaklumkan Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi sumbangan ibadah korban tahun ini.

Menurut beliau, sebanyak 700 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing akan diagihkan kepada institusi agama Islam di seluruh negeri.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.