Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 10 JUN: Walau zaman beralih musim bertukar, teknologi digital seperti telefon pintar dan tablet terus menjadi keperluan utama kerana fungsinya yang memudahkan urusan harian.
Namun, bagi pelajar dan kanak-kanak kecil, peranti ini boleh mengundang bahaya besar jika disalah guna dan tidak dibataskan penggunaannya, meskipun untuk tujuan pembelajaran.
Menurut mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Permatang Datuk Sulaiman Abd Razak, meski peranti kini menjadi sumber pengetahuan penting, tetapi perlu ada kawalan dan penggunaannya harus mengikut syarat tertentu.
[caption id="attachment_704973" align="alignleft" width="350"] Mantan ADN Permatang, Sulaiman Abdul Razak[/caption]
"Sekarang ini, kita lihat anak sekecil umur tujuh atau lapan bulan pun diberikan peranti oleh ibu bapa di kedai untuk memudahkan mereka makan.
"Pada saya, jika kita boleh kawal pemberian gajet dengan syarat dan keadaan tertentu, ia boleh memberi manfaat kepada anak-anak," kata bapa kepada remaja berumur 22 tahun.
Beliau turut mencadangkan pemberian peranti sebagai ganjaran apabila meraih sesuatu yang dibanggakan selain mendisiplinkan anak-anak dengan ajaran agama.
"Insya-Allah, mereka boleh mengawal diri dengan lebih baik," katanya.
[caption id="attachment_704974" align="alignright" width="344"] Suzilawati Awang[/caption]
Sementara itu, guru, Suzilawati Awang, 48, menyuarakan kebimbangan walaupun mengakui peranti sangat penting untuk pembelajaran, terutama ketika pandemik Covid-19, namun pengawasan ketat daripada ibu bapa diperlukan.
"Budak-budak sekarang, kalau dilihat, memang sukar dikawal. Mereka mula malas ke sekolah, bila datang seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ada yang berkhayal dan terlalu taksub dengan aplikasi dalam telefon malah datang lambat ke sekolah.
"Sebenarnya, teknologi boleh membentuk kita jika digunakan dengan betul. Tetapi jika salah guna, banyak pula yang merosakkan. Dunia kini hanya di hujung jari, pilihan di tangan kita, sama ada memilih yang baik atau sebaliknya," nasihat beliau.
[caption id="attachment_704975" align="alignleft" width="350"] Nurhaini Abdullah[/caption]
Ibu kepada lima anak, Nurhaini Abdullah, 50, pula menekankan ibu bapa memastikan anak-anak tidak melayari laman tidak selamat bagi mengelak ketagihan selain memastikan mereka hanya menggunakannya untuk tujuan bermanfaat.
"Saya akan hadkan masa penggunaan telefon anak-anak dan memantau kandungan yang mereka tonton. Saya juga risau jika mereka bermain permainan dalam talian tanpa kawalan.
"Tetapi, ada juga kebaikan teknologi ini. Sebagai contoh, saya sering mendapatkan maklumat pembelajaran mereka melalui 'Google'," katanya.
[caption id="attachment_704976" align="alignright" width="345"] Wong Ting Leong[/caption]
Pendekatan berbeza diambil Wong Ting Lung, 45, yang menetapkan hanya waktu cuti sebagai masa untuk anak-anaknya menggunakan peranti bagi memastikan teknologi tidak membawa lebih banyak mudarat berbanding kebaikan.
"Memang perlu ada kawalan. Anak saya, misalnya, banyak masa dihabiskan bermain permainan dalam telefon. Tetapi apabila bukan waktu cuti sekolah, dia sibuk dengan aktiviti lain seperti tuisyen dan membaca buku.
"Peranti memang satu keperluan, dan semua orang kini mempunyai peranti sendiri. Tetapi ibu bapa mesti sentiasa mengawasi anak-anak," jelasnya.
[caption id="attachment_704977" align="alignleft" width="353"] Norhadiani Baharom[/caption]
Norhadiani Baharom, 43, seorang usahawan syarikat penerbitan turut mengambil serius isu ketagihan peranti, menegaskan ibu bapa perlu bijak mengimbangi penggunaan teknologi dengan kehidupan sihat.
"Ada baik dan buruknya. Saya perasan anak saya yang celik gajet dapat belajar lebih cepat. Tetapi zaman sekarang, penggunaan peranti kelihatan keterlaluan.
"Ramai ibu bapa terlalu sibuk mengejar ekonomi sehingga kurang memberi perhatian kepada anak-anak, mudah menyogok anak dengan gajet apabila mereka bosan atau untuk membuat mereka diam.
"Bagi saya, penggunaan peranti perlu waktu tertentu, dan saya juga membawa anak bermain di taman untuk menjadikan mereka lebih aktif secara fizikal dan mental," katanya.
Pesan beliau, ibu bapa yang sepatutnya membentuk anak-anak supaya menjadi baik dan menerap ajaran agama.
"Pastikan kandungan sesuai dengan umur mereka dan yang paling penting, sentiasa pantau mereka," katanya.