SHAH ALAM, 9 JUN : Gagasan Rumpun Selangor (GRS) siri kedua dijadual berlangsung hujung tahun ini dalam skala yang lebih besar dan meriah.
EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail berkata konsep siri kedua program tersebut masih dalam perbincangan bersama pihak istana dan pejabat Dato’ Menteri Besar.
“Insya-Allah, susulan sambutan memberangsangkan sebelum ini kita akan meneruskan GRS siri kedua pada hujung tahun kerana ada beberapa perkara perlu disusun semula, kita jangka suasananya akan lebih meriah.
“Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah masih terlibat dan akan turun padang menyantuni rakyat di seluruh daerah di negeri ini,” katanya kepada Media Selangor.
GRS diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.
Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.
GRS telah menjelajah ke semua daerah bermula Februari tahun lalu, dimulakan dengan Hulu Selangor dan berakhir di Gombak.
[caption id="attachment_704923" align="aligncenter" width="679"] Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir berkenan menerima cenderahati dari EXCO Kemajuan Desa Datuk Rizam Ismail ketika Majlis penutup Program Gagasan Rumpun Selangor daerah Gombak 2025 di Gamuda Luge Gardens, Rawang pada 17 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Dalam perkembangan lain, Rizam berkata pusat penjagaan warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Sabak Bernam bakal dibuka awal bulan depan dan mampu menampung lebih 24 penghuni.
“Pusat penjagaan ini membabitkan dua buah rumah lelaki dan wanita, ia sudah pun siap cuma sekarang dalam pemeriksaan akhir dan tambah baik daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pusat penjagaan ini akan dikendali oleh penjaga bertauliah dan turut dipantau JKM. Penghuni pula buat masa ini kita utamakan penduduk di Sabak Bernam terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, Persatuan Kebajikan Masyarakat Madani Sabak Bernam dan Pusat Khidmat DUN Sungai Air Tawar bekerjasama menubuhkan pusat penjagaan berkenaan.