ad
AGENDA

Zambry: Kerajaan kaji semula prosedur pelajar sewa bas

9 Jun 2025, 2:58 PM
Zambry: Kerajaan kaji semula prosedur pelajar sewa bas

SHAH ALAM, 9 JUN: Kerajaan akan menyemak semula prosedur keselamatan dan cara pelajar menyewa bas selepas nahas yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata siasatan menyeluruh diserahkan kepada pihak berkaitan bagi memastikan peraturan dipatuhi dan kejadian sama tidak berulang, lapor Buletin TV3.

“Buat masa ini, kita tidak perlu bincang secara terperinci. Saya sudah bercakap dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, pagi tadi.

“Kita serah kepada kementerian terlibat untuk siasat. Masih terlalu awal untuk buat sebarang andaian. Sama-sama kita doakan mangsa yang cedera cepat sembuh,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan itu disewa oleh pelajar sendiri sempena cuti Aidiladha.

Beliau menegaskan bahawa bas tersebut bukan disewa oleh pihak universiti, sebaliknya diuruskan oleh pelajar sebagai inisiatif peribadi.

“Kebiasaannya pelajar yang berasal dari kawasan sama akan menyewa bas bersama untuk balik kampung dan pulang ke kampus. Ini perkara biasa berlaku sejak dulu,” katanya.

Tambah beliau lagi, pihak UPSI telah menubuhkan bilik gerakan untuk membantu keluarga mangsa termasuk dalam urusan penginapan dan bantuan kewangan.

Pagi tadi media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu pulang ke pulang ke universiti itu dekat Tanjung Malim, Perak. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.