ad
AGENDA

Nanta: JKR sedia bantu siasatan nahas bas ragut 15 nyawa pelajar UPSI

9 Jun 2025, 12:54 PM
Nanta: JKR sedia bantu siasatan nahas bas ragut 15 nyawa pelajar UPSI

SHAH ALAM, 9 JUN: Jabatan Kerja Raya bersama pihak konsesi penyelenggaraan akan memberi bantuan nasihat dan kepakaran teknikal membabitkan kemalangan yang meragut 15 nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), awal pagi tadi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan keadilan dan keselamatan awam terjamin.

“Saya mengikuti rapat perkembangan operasi menyelamat yang dijalankan oleh pihak bomba, Angkatan Pertahanan Awam, polis, Kementerian Kesihatan dan semua agensi terlibat.

“Di pihak Kementerian Kerja Raya, saya telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya bersama-sama dengan pihak konsesi penyelenggaraan memberikan bantuan dalam bentuk nasihat serta kepakaran teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya menerusi Facebook.

Pada masa sama, beliau turut memohon orang ramai untuk memberikan ruang kepada pihak berkuasa agar siasatan dapat berjalan dengan lancar dan menyeluruh.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terkorban dalam insiden ini. Kehilangan 15 nyawa muda—bakal pendidik negara—adalah satu tragedi besar kepada negara.

"Saya juga berdoa agar semua mangsa yang cedera diberikan kesembuhan segera dan dipermudahkan urusan rawatan mereka," katanya lagi.

Pagi tadi media melaporkan seramai 15 pelajar UPSI disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.

Difahamkan bas berkenaan dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu pulang ke pulang ke universiti itu dekat Tanjung Malim, Perak. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Gerik untuk bedah siasat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.