ad
BERITA UTAMA

EXCO: 596 tahfiz sertai program pemutihan, jamin keselamatan operasi

8 Jun 2025, 5:00 PM
EXCO: 596 tahfiz sertai program pemutihan, jamin keselamatan operasi
EXCO: 596 tahfiz sertai program pemutihan, jamin keselamatan operasi

PETALING JAYA, 8 JUN: Program Pemutihan Tahfiz 2.0 yang dilaksana bagi memperkemas operasi pusat tahfiz di Selangor mencatat pendaftaran 596 pusat berbanding hanya 450 pada fasa satu.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata fasa dua ini memperkenalkan Kebenaran Operasi Bertempoh (KOB) sebagai alternatif lebih praktikal, membolehkan pusat tahfiz beroperasi dengan selamat sebelum memperoleh Kebenaran Merancang (KM) penuh dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Jelasnya, KOB membolehkan pusat tahfiz beroperasi selagi memenuhi keperluan keselamatan asas seperti penyediaan alat pemadam api dan perlindungan insurans bangunan dalam tempoh ditetapkan iaitu tidak melebihi tiga tahun.

“Dalam fasa dua, kita cuba mudah cara kaedah. Bangunan tetap perlu ada unsur keselamatan, contohnya unsur keselamatan kebakaran tapi tidak semestinya perlu ada ‘sprinkler’, cuma perlu sediakan pemadam api.

“Selain itu, bangunan itu mungkin tidak ada Sijil Perakuan Penyiapan dan Pematuhan (CCC) tapi keselamatannya dijamin mungkin dengan kaedah membeli insurans bangunan. Jadi kalau ada orang boleh sahkan bangunan itu diinsuranskan, maksudnya ia selamat untuk diduduki.

[caption id="attachment_704765" align="alignleft" width="500"] EXCO Agama, Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada Media Selangor selepas agihan daging korban kepada asnaf di Masjid Al-Amin, Petaling Jaya pada 8 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kaedah penuh adalah mendapatkan KM, dan kaedah sementara adalah KOB, mereka kena memenuhi syarat minima tadi, dalam tempoh yang diberi setakat ini tiga tahun. Tapi saya cadangkan kurang daripada setahun untuk mereka menjalankan perkara yang perlu untuk mendapatkan KM penuh,” katanya.

Menurutnya, daripada 596 yang mendaftar dengan program kendalian Persatuan Institusi Tahfiz Selangor (PITAS) itu, 49 pusat tahfiz berjaya memperoleh KM sepenuhnya.

“Selebihnya kira-kira 384 pusat telah menghantar dokumen untuk permohonan KOB dan kira-kira 90 memilih untuk menutup operasi secara sukarela, kebanyakannya kerana kekurangan pelajar atau tidak mampu lagi beroperasi.

“Jadi bagi pusat yang ditutup, kita sedang meneliti satu SOP (tatacara operasi piawai) untuk memindahkan murid. Kita sudah kenalpasti sekolah sekitar, cumanya berkaitan silibus mungkin ada tidak sama dan sebagainya. Tempat memang ada jadi boleh tampung dan tidak ganggu pembelajaran anak-anak,” katanya.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri melakukan beberapa pindaan dalam Program Pemutihan 2.0 bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin selain tidak menekan pengusaha.

Inisiatif itu juga menjamin institusi tahfiz persendirian mematuhi syarat minimum kebenaran merancang yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan serta agensi keselamatan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.