ad
AGENDA

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia selepas sempurnakan wukuf

8 Jun 2025, 3:27 PM
Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia selepas sempurnakan wukuf
Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia selepas sempurnakan wukuf

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 8 JUN: Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci selepas menyempurnakan ibadah wukuf di Arafah, menjadikan jumlah kematian jemaah haji Malaysia bagi musim haji 1446H/2025M meningkat kepada sembilan orang, setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72, meninggal dunia di Hospital Mina Al Wadee pada 4.53 pagi waktu tempatan, akibat serangan jantung.

"Allahyarham yang berasal dari Alor Setar, Kedah sebelum itu menerima rawatan akibat serangan jantung di Khemah Mina sebelum dibawa ke hospital,” katanya dalam kenyataan semalam.

[caption id="attachment_704769" align="alignleft" width="425"] Allahyarham Syed Baharom Syed Hussin, 72, meninggal dunia di Hospital Mina Al Wadee pada 7 Jun 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Menurut beliau Lembaga Tabung Haji (TH) sudah menghubungi waris allahyarham dan akan mengurus sepenuhnya segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah serta kebajikan jemaah yang terlibat.

Dr Mohd Na’im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH turut merakamkan ucapan takziah kepada waris dan ahli keluarga allahyarham, serta mendoakan agar rohnya dicucuri rahmat dan segala amal ibadahnya diterima Allah SWT.

Beliau turut memaklumkan TH akan terus memantau tahap kesihatan semua jemaah haji Malaysia sepanjang berada di Tanah Suci.

“Saya menasihati jemaah agar sentiasa menjaga kesihatan, mematuhi segala arahan petugas, serta tidak memaksa diri dalam melaksanakan ibadah yang memerlukan kekuatan fizikal seperti melontar jamrah, khususnya dalam keadaan cuaca panas ekstrem,” katanya.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.