ad
AGENDA

KPN: Tiada sekatan terhadap Fahmi Reza

8 Jun 2025, 12:54 PM
KPN: Tiada sekatan terhadap Fahmi Reza

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Tiada sekatan rasmi dikenakan terhadap aktivis dan pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Bagaimanapun beliau berkata nama Fahmi Reza telah dimasukkan ke dalam senarai pemantauan pergerakan bagi tujuan rekod dan rujukan dalaman pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), berikutan siasatan kes melibatkan beliau yang masih dijalankan.

“Namun harus ditegaskan bahawa senarai ini tidak membawa maksud sekatan, sebaliknya merupakan sebahagian daripada prosedur pemantauan yang lazim dilaksanakan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu Razarudin berkata terdapat kekeliruan ketika proses semakan di pintu keluar negara semalam, yang telah menyebabkan arahan sekatan pergerakan dikeluarkan secara tidak tepat dan situasi berkenaan sedang diteliti serta langkah sewajarnya akan diambil, bagi memperkemas prosedur sedia ada.

“PDRM kekal komited dalam melindungi dan menghormati hak kebebasan bergerak kepada setiap rakyat Malaysia dan individu berkenaan adalah bebas untuk melakukan perjalanan keluar dan masuk negara seperti biasa, tertakluk kepada sebarang peraturan yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya.

Media semalam melaporkan Fahmi Reza mendakwa dihalang ke luar negara selepas disenarai hitam dari memasuki Sabah baru-baru ini.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Fahmi Reza berkata beliau hanya mengetahui perkara berkenaan selepas dimaklumkan pegawai imigresen ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk berlepas ke Singapura.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.