IPOH, 8 JUN: Seorang lelaki meninggal dunia ketika menyertai aktiviti gotong-royong penyembelihan lembu sempena Aidiladha di Kampung Sungai Rumput, Kampung Sitiawan dekat Lumut semalam.
Mangsa berusia 50 tahun dilaporkan pengsan di sebuah kawasan padang di lokasi ibadah korban tersebut dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman berkata kejadian itu dilaporkan berlaku 12.30 tengah hari semalam.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Seri Manjung dan hasil bedah siasat mendapati mangsa disahkan mengalami serangan jantung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hasbullah berkata kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan orang ramai membantu membawa lelaki itu ke hospital menaiki ambulans sebaik insiden itu berlaku.
- BERNAMA