ad
AGENDA

Jenazah lima mangsa maut kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad

8 Jun 2025, 9:01 AM
Jenazah lima mangsa maut kemalangan dikebumikan dalam satu liang lahad

BOTA, 8 JUN: Jenazah lima mangsa yang maut dalam kemalangan dua kenderaan di Kilometer 7, Jalan Jerantut-Maran, Pahang, semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Selat, Bota Kanan di sini, awal pagi ini.

Jenazah Mohamad Ikmal Ishak, 26, dan isterinya Nur Arfiqah Aziz Jaafar, 23, termasuk adik kepada Nur Arfiqah iaitu Mohammad Zulkifli, 21, Mohamad Azizul Hakimi, 19, dan Nurul Hazwani, 17, dibawa dari Jerantut, Pahang dan tiba ke Masjid Jamek Bota Kanan di sini untuk disembahyangkan kira-kira 12.30 tengah malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah turut berada di masjid berkenaan.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi tanah perkuburan yang dihadiri ahli keluarga, saudara dan sahabat handai mangsa.

Kesemua jenazah selamat dikebumikan kira-kira 1.45 pagi.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Zukri Muhammad mengesahkan kejadian membabitkan sebuah Perodua Bezza dan Toyota Alphard berlaku sekitar 12 tengah malam semalam di jalan tersebut.

Beliau berkata kesemua lima mangsa yang maut menaiki Perodua Bezza iaitu Muhammad Ikmal, isterinya Nur Arfiqah serta adik iparnya Mohammad Zulkifli, Mohamad Azizul Hakimi dan Nurul Hazwani.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.