ad
AGENDA

Rapid KL tambah 13 zon On-Demand, aplikasi tempahan baharu dilancar 9 Jun

7 Jun 2025, 6:30 PM
Rapid KL tambah 13 zon On-Demand, aplikasi tempahan baharu dilancar 9 Jun

SHAH ALAM, 7 JUN: Rapid Bus Sdn Bhd bakal memperkenalkan 13 zon baharu bagi perkhidmatan Rapid KL On-Demand bermula 9 Jun ini, sekali gus memperluas capaian pengangkutan awam di Lembah Klang.

Langkah itu turut disertai pelancaran aplikasi tempahan baharu dikenali sebagai Rapid On-Demand yang membolehkan pengguna menempah perjalanan secara lebih mudah, pantas dan mesra pengguna.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Rapid Bus (Operasi) Amir Hamdan berkata inisiatif itu bertujuan memantapkan pengalaman pelanggan selain menyokong usaha menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama penduduk.

“Dengan inovasi ini yang menitikberatkan aspek lestari, responsif serta mesra pengguna, kami menyasarkan untuk meningkatkan kebolehgunaan sistem pengangkutan awam, khususnya sebagai sambungan perjalanan ‘first-last mile’,” katanya.

Aplikasi Rapid On-Demand akan digunakan bermula di zon-zon sambungan ke laluan MRT seperti berikut:

No Zon Jumlah Van
1 MRT Semantan – KTM Segambut 2
2 MRT Bukit Dukung – Sg. Sekamat 1
3 MRT Sungai Buloh – Bandar Rahman Putra 3
4 MRT Serdang Raya Selatan – Taman Bukit Serdang 2
5 MRT Metro Prima – Taman Botani Kepong (FRIM) 2
6 MRT Kentonmen – MITEC 3
7 MRT Sg. Jernih – Taman Puncak Saujana 2
8 MRT Serdang Raya Utara – Pavilion Bukit Jalil 4
9 MRT Taman Equine – Lestari Perdana 4
10 MRT Metro Prima – Taman Bukit Maluri 2
11 MRT Sri Delima – Sri Segambut 2
12 Kota Kemuning – Gamuda Walk Mall (melalui Kummute) 3
13 LRT Alam Megah – Alam Megah 2

Orang ramai boleh memuat turun aplikasi Rapid On-Demand secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.

Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial rasmi Rapid KL atau di laman web www.myrapid.com.my.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.