GOMBAK, 7 JUN: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan lima daripada sembilan ekor lembu yang dikorbankan dalam program Qurban Strata Gombak, di sini hari ini.
Daging korban diagihkan kepada lebih 600 penduduk di lima pangsapuri sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua iaitu Pangsapuri Kenanga, Pangsapuri Permai, Pangsapuri Selangorku Seri Temenggung, Pangsapuri Beringin dan Pangsapuri Cempaka.
Amirudin yang hadir bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhamad turut meluangkan masa menyembelih dua ekor lembu serta bergotong-royong melapah bersama penduduk.
[caption id="attachment_704692" align="aligncenter" width="764"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penduduk ketika program Qurban Strata Gombak di Pangsapuri Selayang Sejati, Gombak pada 7 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pengerusi Surau Al Ansar Pangsapuri Kenanga Mohd Nasir Zakaria berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah bagi pelaksanaan ibadah korban melibatkan kediaman strata di DUN berkenaan.
“Setiap tahun Dato’ Menteri Besar memberikan lembu kepada kami, dan ini adalah tahun keempat. Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana prihatin dan amat baik hati kepada kami,” katanya.
Pada 1 Jun lalu, Amirudin turut mengagihkan sebanyak 103 ekor lembu kepada tiga DUN dalam Parlimen Gombak iaitu Sungai Tua, Gombak Setia dan Hulu Kelang sempena Aidiladha.
Menurut beliau, agihan haiwan qurban itu disalurkan kepada komuniti strata, Jawatankuasa Pengurusan dan Pentadbiran Kampung, badan bukan kerajaan (NGO), kelab komuniti serta surau di kawasan berkenaan.
[caption id="attachment_704703" align="aligncenter" width="880"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penduduk ketika program Qurban Strata Gombak di Pangsapuri Kenanga, Gombak pada 7 Jun 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]