ad
ADN

ADN: Tapak dicadang bina memorial di Kampung Raja Uda bukan zon perniagaan

7 Jun 2025, 3:41 PM
ADN: Tapak dicadang bina memorial di Kampung Raja Uda bukan zon perniagaan

Oleh Muhammad Rey Hazriell

SHAH ALAM, 7 JUN: Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang mengambil maklum bantahan penduduk Kampung Raja Uda terhadap cadangan pembinaan bangunan memorial setinggi empat tingkat di atas tanah seluas 1.35 ekar di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang.

Azmizam Zaman Huri berkata tapak yang dicadangkan itu tidak sesuai untuk membina memorial kerana ia terletak terlalu hampir dengan Masjid Kampung Raja Uda dan kawasan perumahan di sekitarnya.

Menurut Azmizam, semakan di Pejabat Daerah dan Tanah Klang turut menunjukkan tanah berkenaan dikategorikan sebagai zon guna tanah untuk kediaman dan bukan untuk tujuan perniagaan atau aktiviti lain.

"Wakil penduduk memaklumkan permohonan kebenaran merancang bangunan berkenaan membabitkan Lot 8022, PT 3243 (Lot 29148), PT 3244 (Lot 29146) dan PT 3245 (Lot 29147).

“Asas bantahan penduduk adalah kerana kawasan itu zon untuk perumahan komersial di bawah rancangan tempatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) sehingga 2035,” jelasnya dalam kenyataan di Facebook.

Azmizam turut menegaskan bahawa pembinaan memorial di lokasi berkenaan berpotensi menimbulkan masalah kesesakan jalan raya, terutamanya apabila masjid berhampiran mengadakan aktiviti seperti solat Jumaat yang menarik kehadiran ramai jemaah.

Difahamkan, semua pemilik rumah berhampiran tapak cadangan turut membantah kerana jarak yang terlalu dekat dan kebimbangan terhadap gangguan kepada suasana kediaman.

Azmizam berharap MBDK dapat mempertimbangkan pandangan dan bantahan penduduk demi memastikan keharmonian, ketenteraman dan keselesaan komuniti Kampung Raja Uda terus terpelihara.

"Kita berharap MBDK akan mempertimbangkan pandangan dan bantahan penduduk Kampung Raja Uda demi keharmonian, ketenteraman dan keselesaan yang selama ini hidup aman dan damai," katanya.

Semalam, media melaporkan majoriti penduduk Kampung Raja Uda menolak cadangan pembinaan memorial berhampiran masjid di kampung tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Raja Uda Azhar Ibrahim berkata projek itu tidak pernah dibincangkan bersama penduduk dan mereka hanya mengetahui cadangan tersebut dua minggu lalu.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.