Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menitahkan tindakan tegas perlu diambil terhadap individu atau syarikat pelancongan yang menawarkan pakej haji dengan mengambil kesempatan menipu umat Islam.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan dukacita dan kecewa terhadap peningkatan kes penipuan pakej haji yang melibatkan umat Islam di negara ini.
“Lebih menyedihkan Baginda, apabila pihak yang mengeksploitasi ini adalah dari kalangan umat Islam sendiri yang tergamak menipu saudara seagama demi kepentingan peribadi,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyeru umat Islam sentiasa memelihara kesucian ibadah haji dengan memastikan setiap urusan dibuat dengan ejen dan syarikat berlesen serta diiktiraf pihak berkuasa untuk mengendalikan urusan haji dan umrah.
Pada masa sama, Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin turut berkenan menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam di Malaysia.
Baginda berdua mendoakan agar jemaah haji Malaysia di Tanah Suci dapat melakukan ibadah mereka dengan sempurna dan dikurniakan haji mabrur seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat.
“Sempena Aidiladha kali ini, diharapkan sekalian umat Islam mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan melaksanakan ibadah korban demi membantu yang miskin serta menginsafi nasib golongan yang lebih daif,” titah Baginda.